TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Air parit hijau mengalir ke Sungai Langat: LUAS kesan dua insiden pencemaran di Telok Panglima Garang

By
|
Kongsi
image

KUALA LANGAT, 22 Sept. – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan dua kes pencemaran sumber air berasingan secara serentak yang menyebabkan aliran air berwarna hijau mengalir ke arah Sungai Langat di kawasan Telok Panglima Garang semalam.

Insiden pencemaran berkenaan terbongkar hasil tindakan pantas pasukan penguat kuasa LUAS yang menjalankan siasatan susulan dua aduan awam membabitkan lokasi di Jalan Telok Mengkuang dan Jalan Perupuk.

Siasatan di Jalan Telok Mengkuang menggunakan pemantauan udara dron serta pemeriksaan fizikal di sepanjang saliran parit mendapati air berwarna hijau berkenaan telah berkumpul di kawasan hilir sebelum mula mengalir ke dalam sungai utama.

Hasil pemeriksaan terperinci di lokasi berhampiran membawa kepada penemuan sebuah premis kitar semula plastik yang disyaki berpotensi menjadi punca pencemaran, namun tiada pelepasan aktif dikesan keluar dari premis itu sewaktu serbuan dijalankan.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tetap mengambil langkah tegas dengan mengeluarkan notis di bawah Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar Negeri Selangor 2024 atau Zero Discharge Policy (ZDP) terhadap pemilik premis terbabit.

Pihak LUAS tidak menolak kemungkinan bahawa punca utama pelepasan cecair hijau berkenaan berasal dari kawasan zon perindustrian Telok Panglima Garang dan tindakan pemantauan susulan sedang digiatkan bagi mengenalpasti dalang sebenar.

Sementara itu, siasatan berasingan di Jalan Perupuk pula mendapati pencemaran saliran parit berpunca daripada aktiviti penyalutan logam dan pelupusan sisa kimia berbahaya yang dipercayai dilepaskan secara haram.

Premis berkenaan sebelum ini telah pun dikenakan tindakan sitaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), namun pemeriksaan terkini mendapati masih terdapat sisa minyak yang mengalir keluar ke parit bersebelahan.

Semua sampel air yang diambil dari kedua-dua lokasi kejadian telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal, manakala kertas siasatan rasmi dibuka di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air negeri.

+ - reset