Berita Berita
Baru setahun bekerja, waris dua remaja maut kemalangan bakal terima manfaat LINDUNG 24 Jam lebih RM275,000
IPOH 22 Sept – Baru sekitar setahun melangkah ke alam pekerjaan, dua remaja berusia 19 tahun yang maut dalam kemalangan tragis di Jalan Jelapang-Ampang di sini, kelmarin meninggalkan perlindungan kewangan bernilai lebih RM275,000 kepada waris menerusi LINDUNG 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Dua mangsa, Muhammad Izdihar Rafiq Sarajil Korin dan Muhamad Faiz Danial Jumri, masing-masing baru memulakan kerjaya apabila mula mencarum dengan PERKESO selepas memasuki alam pekerjaan.
Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO dalam kenyataan berkata, semakan rekod mendapati Muhammad Izdihar mula mencarum selepas diambil bekerja pada Januari tahun ini.
Muhamad Faiz pula disahkan telah berkhidmat sejak Ogos tahun lalu.
“Perkeso ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa yang berusia 19 tahun tetap memilih untuk meneruskan caruman LINDUNG 24 Jam. Meskipun kemalangan berlaku di luar waktu kerja, nasib waris iaitu ibu bapa dan adik-beradik mangsa yang mungkin sebelum ini pernah bergantung harap pada arwah, masih tetap terbela,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, awal pagi kelmarin.
Mengulas lanjut, PERKESO berkata, waris Allahyarham Muhammad Izdihar layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM945 sebulan mengikut syer masing-masing.
“Ibu dan bapanya mendapat bayaran berkenaan untuk sepanjang hayat manakala tiga adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.
“Bagi Allahyarham Muhamad Faiz, bayaran FOT sebanyak RM891, mengikut syer masing-masing akan disalurkan untuk sepanjang hayat kepada ibu bapanya, manakala seorang adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah,” katanya.
Selain bayaran FOT, waris kedua-dua mangsa turut layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.
Menurut PERKESO, perlindungan LINDUNG 24 Jam membolehkan waris pencarum mendapat jaminan gantian pendapatan untuk tempoh panjang sekiranya berlaku kejadian tidak diduga terhadap pencarum.
“LINDUNG 24 Jam memperuntukkan kelangsungan gantian pendapatan dalam jangka panjang kepada waris sekiranya berlaku insiden tidak terduga terhadap pencarum.
“Sehubungan itu, jumlah keseluruhan bayaran pencen berkala menerusi FOT untuk tempoh 15 tahun kepada waris mangsa dalam kes kemalangan tragis ini menjangkau lebih RM275,000,” katanya.
Berita berkaitan
September 22, 2026, 2:30 pm
‘Hari bersejarah untuk saya’ – Jofliam dapat hak penjagaan penuh Han, Yuki
September 22, 2026, 2:06 pm
Ops Kesan 2.0: ‘Tak tahu wajib mencarum’ alasan basi majikan, PERKESO keluar 25,011 kompaun RM15 juta
September 22, 2026, 1:19 pm
Pertikai tabung bantuan denda Najib tidak wajar, hak individu perlu dihormati
September 22, 2026, 1:01 pm
Wanita warga emas maut dirempuh MPV ketika lintas jalan nak beli sarapan di Yan
September 22, 2026, 12:41 pm
‘Saya dan Ismail Lasim tidak pernah dititah menghadap Tuanku Muhriz’ – Ahmad Zahid
September 22, 2026, 12:38 pm
Ayob Khan dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM baharu bagi tempoh tiga tahun
September 22, 2026, 11:26 am
‘Rakyat mahu banteras rasuah, tapi yang cium tangan perasuah pun ramai’ – Anwar
September 22, 2026, 10:37 am
