TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ops Kesan 2.0: ‘Tak tahu wajib mencarum’ alasan basi majikan, PERKESO keluar 25,011 kompaun RM15 juta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Sept – Alasan tidak tahu caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah wajib antara yang paling kerap diberikan majikan yang dikesan gagal mendaftarkan perniagaan atau pekerja serta membuat caruman.

Lebih mengejutkan, terdapat juga kes pekerja sendiri meminta majikan supaya tidak membuat caruman PERKESO bagi pihak mereka.

Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, Azirruan Arifin berkata, sejak Julai lalu, lebih 2,000 notis kompaun dikeluarkan terhadap majikan atas kegagalan mendaftarkan perniagaan atau pekerja selain tidak membuat caruman wajib.

Notis berkenaan membabitkan kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Dalam Op Kesan 2.0 yang dilaksanakan hari ini pula, sebanyak 159 pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara dengan 14 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan.

“Jumlah ini dijangka meningkat sehingga operasi berakhir pada pukul 6 petang,” katanya kepada pemberita ketika menyertai operasi di sekitar Pasar Seni, hari ini.

Operasi sama turut dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang termasuk Brickfields, Pudu dan Bandar Baru Ampang.

Mengulas alasan diberikan majikan yang gagal mencarum, Azirruan berkata, antara alasan paling kerap diterima ialah mereka tidak mengetahui caruman berkenaan merupakan satu kewajipan.

“Ada juga kes pekerja sendiri meminta majikan supaya tidak membuat caruman,” katanya.

Seramai 300 pegawai daripada 54 pejabat PERKESO di seluruh negara terbabit dalam operasi berkenaan yang antara lain menyasarkan majikan, penyedia platform dan individu bekerja sendiri.

Menurut Azirruan, sejak 2020, sebanyak 25,011 notis kompaun bernilai RM15 juta telah dikeluarkan terhadap majikan kerana gagal mendaftarkan perniagaan atau pekerja dengan PERKESO.

Dalam tempoh sama, sebanyak 21,177 kes turut dibawa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Mengikut peruntukan undang-undang semasa, majikan yang gagal mematuhi ketetapan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Azirruan turut menegaskan kepentingan caruman PERKESO kerana kejadian tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa dan perlindungan yang disediakan bukan hanya memberi manfaat kepada pekerja.

“Manfaat yang disediakan bukan sahaja untuk pekerja sekiranya mereka berdepan situasi tidak diingini, tetapi juga untuk keluarga mereka.

“Pekerja juga perlu mengetahui hak mereka, termasuk hak untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pekerja yang mendapati diri mereka tidak mendapat perlindungan PERKESO supaya membuat aduan kepada pejabat agensi berkenaan yang berhampiran.

“Kami akan menjalankan pemeriksaan di lokasi dan memastikan pekerja berkenaan menerima caruman mereka,” katanya.

Beliau memberi jaminan identiti individu yang membuat aduan akan dirahsiakan.

Dalam memastikan perlindungan keselamatan sosial turut dinikmati pekerja asing, Azirruan berkata, PERKESO bekerjasama rapat dengan kedutaan serta agensi berkaitan bagi memastikan golongan itu menerima caruman sewajarnya.

Pada masa sama, penyedia platform juga perlu memastikan proses pendaftaran dan caruman pekerja gig dilaksanakan secara teratur seperti ditetapkan di bawah Akta Pekerja Gig.

Setakat ini, seramai 1.17 juta pekerja gig telah didaftarkan.

“Penguatkuasaan akan bermula pada 1 Oktober,” katanya.

+ - reset