Berita Berita
AGC sanggah keputusan Ismail, MMKN tiada kuasa gantung SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri
KUALA LUMPUR 23 Sept – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Pendirian itu dibuat susulan pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang menggantung tugas SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Menurut AGC, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan berkenaan masing-masing berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).
Perkara itu diperuntukkan menerusi Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Berhubung dengan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 22 September 2026 mengenai penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang berkuat kuasa serta-merta, jabatan ini berpandangan bahawa MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan tersebut,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menjelaskan bahawa sebarang pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu perlu mematuhi Perkara 37 UUTKNS.
Pelantikan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Terdahulu, Ismail mengumumkan penggantungan tugas Mohd Zafir dan Muzalmah berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas MMKN.
Ismail turut mengumumkan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali akan menjalankan tugas SUK sehingga penyandang baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah pula diumumkan akan menjalankan tugas memberikan nasihat perundangan sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dinamakan.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika Negeri Sembilan berdepan pertikaian perlembagaan susulan proklamasi bertarikh 19 April 2026 mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pada 17 September lalu, AGC berpandangan proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.
AGC ketika itu turut menegaskan Menteri Besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pejabat SUK Negeri Sembilan kemudiannya memaklumkan pentadbiran negeri tidak akan mengambil tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi berkenaan selaras dengan pandangan AGC.
Berita berkaitan
September 23, 2026, 10:40 am
FIFA sahkan Brad Tapp layak wakili Harimau Malaya, ibu berasal dari Pulau Pinang
September 23, 2026, 10:39 am
Perkhidmatan awam digesa laksana pendekatan merentasi agensi bagi tangani isu kesihatan mental
September 23, 2026, 10:31 am
Ganjaran RM1.18 juta diberikan kepada 652 penjawat awam kerana laporkan rasuah
September 23, 2026, 10:17 am
'Orang awam tiada kuasa' - JPJ beri peringatan rakyat Malaysia jangan ambil tindakan sendiri terhadap warga asing
September 23, 2026, 8:03 am
Perjalanan pulang dari sekolah berakhir tragedi, dua pelajar maut bertembung kereta di Langkawi
September 23, 2026, 7:52 am
‘Tak pilih hijau dikata tak nak penyatuan, tak pilih merah dikata lupa daratan’ – ADUN Duyong
September 23, 2026, 7:45 am
‘Mohon kebenaran diperlihatkan’ – PH anjur solat hajat susulan kemelut takhta Negeri Sembilan
September 23, 2026, 7:31 am
Air masih mengalir di lokasi tanah runtuh, penghuni pangsapuri Cheras diarah kosongkan rumah
September 22, 2026, 10:17 pm
