Berita Berita
‘Orang luar, PM, AGC jangan campur urusan pemerintahan Negeri Sembilan’ – Undang Yang Empat
SEREMBAN 22 Sept – Kumpulan Undang Yang Empat yang kedudukan mereka dipertikaikan bersama Tunku Besar Tampin mengingatkan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan, khususnya berkaitan kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar.
Menerusi kenyataan bersama, mereka mengecam sebarang usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif serta hak perlembagaan mereka.
Menurut kumpulan itu, kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar merupakan adat prerogatif yang didakwa turut termaktub menerusi Perkara 7, Perkara 10 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Mereka turut menolak dakwaan bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Tohmahan pihak tertentu bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim serta barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah satu fitnah jahat yang dirancang demi kepentingan peribadi kumpulan tertentu.
“Menteri Besar dan Exco sama sekali tidak mempunyai kuasa itu sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan kami selaku Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959, di samping memelihara kedudukan kami sebagai Raja Pemerintah negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 28 UUTKNS 1959,” kata mereka.
Kumpulan itu turut mendakwa sebarang campur tangan dalam perkara berkenaan boleh menimbulkan persoalan berkaitan sumpah jawatan Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam dan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, mereka menggesa pihak luar termasuk parti politik supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kemelut berkenaan atau mengeluarkan kenyataan yang didakwa memutarbelitkan mandat rakyat serta menyentuh kerajaan negeri dan institusi adat Negeri Sembilan.
Menurut mereka, sistem adat yang diamalkan di Negeri Sembilan sudah berlangsung lebih 500 tahun dan pihak berkenaan berpandangan mereka lebih memahami proses serta amalan berkaitan institusi tersebut.
“Adat yang telah diamalkan ini telah berlangsung lebih daripada 500 tahun, sudah tentulah kami selaku Raja Pemerintah dan Ketua Adat lebih memahami apa yang berlaku.
“Kami menegaskan bahawa tindakan Tunku Muhriz mengarahkan pengumuman untuk memberhentikan barisan Exco ialah salah, tidak berperlembagaan dan tiada kuat kuasa,” kata mereka.
Kumpulan pembesar adat itu turut mendakwa tindakan berkenaan tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan selain menyifatkannya sebagai cubaan menghalang Raja Pemerintah menjalankan pemerintahan.
Kemelut itu berlaku ketika kesahihan proklamasi berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz terus dipertikaikan. Ismail sebelum ini berkata beliau menandatangani proklamasi berkenaan dalam keadaan terpaksa dan menegaskan dokumen itu tidak mematuhi proses serta prosedur di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959. Beliau turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Berita berkaitan
September 22, 2026, 8:26 pm
Isu pengampunan Najib tak wajar lemahkan PH, Anthony Loke tak perlu undur - Aiman Athirah
September 22, 2026, 8:04 pm
Amirudin bidas dakwaan tanah rizab Melayu Selangor berkurang, catat peningkatan 2,680 ekar sejak 2018
September 22, 2026, 7:56 pm
34 tan sampah dikutip dari dua rumah warga emas di Johor Bahru
September 22, 2026, 4:26 pm
Pendidikan kekal jadi keutamaan, SK Batu Anam terima RM100,000 bangunkan bilik darjah digital - Yuneswaran
September 22, 2026, 3:08 pm
Teka-teki terjawab, Ab Rauf umum DUN Melaka bubar esok buka laluan PRN
September 22, 2026, 2:55 pm
Rezeki di Festival Mega iLINDUNGu, 523 pencari kerja dapat kerja dengan gaji hingga RM5,000
September 22, 2026, 2:30 pm
‘Hari bersejarah untuk saya’ – Jofliam dapat hak penjagaan penuh Han, Yuki
September 22, 2026, 2:06 pm
Ops Kesan 2.0: ‘Tak tahu wajib mencarum’ alasan basi majikan, PERKESO keluar 25,011 kompaun RM15 juta
September 22, 2026, 1:47 pm
