TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dibayar hingga RM1,800 pandu van angkut PATI pergi balik kerja, enam warga asing dicekup Imigresen

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 23 Sept - Dibayar antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan untuk memandu van membawa warga asing dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memintas tujuh van dalam operasi khas di sekitar Kajang dan Putrajaya, Isnin lalu, yang membawa kepada penahanan keseluruhan 60 individu.

Operasi antara jam 3 hingga 6 petang itu melibatkan 35 pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Pasukan Taktikal Khas (Pastak), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

JIM dalam kenyataan pada Rabu berkata, pemeriksaan mendapati enam daripada tujuh van berkenaan dipandu warga asing terdiri daripada lima lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia.

"Pemeriksaan mendapati enam daripada van berkenaan dipandu warga asing terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia.

"Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah selain tidak memiliki lesen memandu kompeten yang sah, manakala ada yang menggunakan lesen memandu percubaan," menurut kenyataan itu.

Siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing terbabit mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van yang disyaki warga tempatan untuk menjalankan perkhidmatan berkenaan.

"Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu dan pemilik salah sebuah van turut ditahan.

"Kesemua enam pemandu warga asing dan lelaki tempatan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Pemeriksaan terhadap penumpang pula membawa kepada penahanan 53 warga asing terdiri daripada 44 warga Indonesia iaitu 12 lelaki dan 32 wanita, lapan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar.

"Mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah," katanya.

Siasatan JIM turut mendapati warga asing terbabit dipercayai menggunakan perkhidmatan van berkenaan sebagai pengangkutan pergi dan balik ke tempat kerja di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya.

Mereka dipercayai membayar kira-kira RM100 sebulan untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

"JIM turut menyita tujuh van yang disyaki digunakan bagi melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.

JIM kini sedang mengesan pemilik kenderaan lain yang terlibat bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

"Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut.

"Kes disiasat kerana disyaki melibatkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

JIM menegaskan pihaknya memandang serius kegiatan yang memudahkan pergerakan, penggajian atau keberadaan PATI di negara ini.

Tindakan penguatkuasaan juga tidak hanya tertumpu kepada warga asing yang melakukan kesalahan, sebaliknya akan diperluaskan kepada individu, majikan, pemilik kenderaan atau mana-mana pihak yang melindungi serta memudahkan pelanggaran undang-undang imigresen.

JIM turut menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di FacebookInstagramTikTokThreads dan Youtube

 

+ - reset