TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Nasib tak menyebelahi MPV...' - Polis sahkan tiada kereta peronda 'escort' geng curi kabel, sudut CCTV cetus salah faham

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 23 Sept – Polis Selangor menafikan dakwaan sebuah kenderaan peronda polis (MPV) mengiringi atau melindungi kumpulan yang terbabit dalam kegiatan mencuri kabel di Kampung Tasek Tambahan, Ampang pada 19 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semakan mendapati anggota MPV terbabit sebenarnya sedang menjalankan tugas rasmi selepas menerima maklumat mengenai kegiatan mencuri kabel di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kekeliruan dipercayai tercetus disebabkan sudut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

"Saya sudah membuat semakan, sebenarnya tidak ada kontroversi, anggota MPV yang membuat rondaan berkenaan melaksanakan tugasnya.

"Cuma yang saya lihat dipersoalkan apabila membabitkan sudut-sudut rakaman berkenaan seolah-olah menimbulkan kontroversi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Mengulas kronologi kejadian, Shazeli berkata, anggota polis bergegas ke lokasi selepas menerima aduan berhubung kegiatan mencuri kabel untuk membuat pengesahan.

Bagaimanapun, anggota yang tiba di lokasi pada awalnya tidak menjangkakan terdapat ramai individu disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.

"Walaupun beberapa suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, polis berjaya memberkas seorang individu di lokasi terbabit.

"Kita sudah membuat tangkapan ke atas seorang suspek dan siasatan dijalankan. Suspek sudah dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM8,000," katanya.

Menurutnya, polis kini giat mengesan rakan subahat suspek yang masih bebas.

Pada masa sama, siasatan lanjut turut dilakukan bagi memastikan kesahihan rakaman CCTV berkenaan serta mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kelemahan ketika insiden berlaku.

Shazeli berkata, pihak polis mengalu-alukan orang ramai berkongsi maklumat termasuk rakaman yang boleh membantu siasatan, namun mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan sebelum fakta sebenar diketahui.

"Siasatan lanjut sedang dibuat bagi memastikan kesahihan rakaman serta mengenal pasti jika wujud sebarang kelemahan semasa insiden berlaku.

"Berkongsi (video) itu tidak menjadi isu, memang pihak polis amat mengharapkan perkongsian maklumat. Cuma nasihat saya, jangan cepat buat kesimpulan awal yang belum diketahui hujung pangkal ceritanya, ini kerana ia boleh menjatuhkan fitnah," katanya.

Sebelum ini, rakaman CCTV dari sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian tular di beberapa platform media sosial termasuk Facebook dan Threads.

Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi warganet termasuk dakwaan bahawa MPV polis berkenaan mengiringi kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi.

+ - reset