Berita Berita
‘Dah nak keluar rumah, sempat tambah perabot baharu’ – Fadhli sindir Loke
KUALA LUMPUR 23 Sept – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Anthony Loke yang sudah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, namun masih meneruskan tugasan rasmi termasuk lawatan ke China, menghadiri mesyuarat peringkat menteri dan terlibat dalam pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).
Menurut Fadhli, meskipun Loke masih sah memegang jawatan selagi proses peletakan jawatannya belum berkuat kuasa, situasi itu menurutnya menimbulkan persoalan dari sudut tatakelola.
"Apabila seorang menteri sudah mengumumkan mahu berundur atas dasar prinsip, sewajarnya tindakannya selepas itu turut menggambarkan bahawa beliau sedang menuju pintu keluar.
"Urusan rutin dan perkara mendesak tentulah perlu diteruskan, tetapi keputusan atau komitmen baharu yang mempunyai kesan selepas beliau berundur sepatutnya dibuat dengan lebih berhati hati. Kalau tidak mendesak, apa salahnya diserahkan kepada pengganti?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 19 September lalu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung selama tiga jam.
"Kita capai satu keputusan saya tawarkan diri saya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan.
"Ahli-ahli jemaah menteri (DAP) yang lain akan kekal berada dalam kerajaan," kata Loke ketika mengumumkan keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, Loke kemudiannya meneruskan program rasmi di China termasuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-12 di Beijing, selain beberapa pertemuan dua hala dan pemeteraian dua MoU.
Mengulas perkara itu, Fadhli berkata, sekiranya Loke benar-benar mahu berundur atas dasar prinsip, proses berkenaan seharusnya dilakukan secara teratur dengan urusan besar diserahkan kepada penggantinya.
"Mungkin selepas ini kita perlu memahami bahawa perkataan 'resign' dalam politik mempunyai maksud yang agak fleksibel. Umum hendak berhenti dahulu, teruskan lawatan rasmi, bermesyuarat, tandatangan MoU, selesaikan jadual, kemudian balik baru urus soal berhenti.
"Rajin memang rajin. Cuma kalau sudah hendak keluar rumah, pelik juga kalau sempat tambah perabot baharu sebelum serahkan kunci," katanya.
Dalam kenyataan sama, Fadhli turut mempersoalkan projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion yang menurutnya diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk Pulau Pinang ketika Loke menerajui Kementerian Pengangkutan.
Menurut Fadhli, jumlah itu termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM16.8 bilion, pembesaran lapangan terbang RM1.55 bilion dan Pelabuhan Pulau Pinang RM2.2 bilion.
Susulan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan mendedahkan nilai projek pengangkutan mengikut negeri bagi membolehkan rakyat membuat perbandingan.
"RM21 bilion untuk Pulau Pinang sahaja memang angka yang besar. Kalau satu negeri boleh menerima projek pengangkutan sebanyak itu, tentu menarik juga kalau Kementerian Pengangkutan mendedahkan angka mengikut negeri supaya rakyat boleh membuat perbandingan yang adil.
"Pulau Pinang bukannya terlalu berbeza daripada negeri negeri lain, kecuali satu perkara yang sangat mudah dilihat: kerajaan negerinya diterajui DAP.
"Sebab itu ketelusan angka mengikut negeri penting supaya tidak timbul persoalan sama ada 'kerajinan' seorang menteri turut mempunyai sempadan politik," katanya.
Berita berkaitan
September 23, 2026, 1:51 pm
Warga asing ditawar melancong ke Malaysia siap upah RM6,000, rupanya dijadikan ‘keldai dadah’
September 23, 2026, 1:17 pm
Polis paling ramai lapor rasuah, ada pegawai berani tolak suapan RM200,000 - SPRM
September 23, 2026, 12:14 pm
Faktor keselamatan, pertemuan MB, Exco dengan Tuanku Nadzaruddin dibatalkan
September 23, 2026, 11:33 am
Dibayar hingga RM1,800 pandu van angkut PATI pergi balik kerja, enam warga asing dicekup Imigresen
September 23, 2026, 11:02 am
Fadhlina Sidek titip pesanan, gesa guru baharu beri masa sesuaikan diri di kawasan penempatan pedalaman
September 23, 2026, 10:56 am
Gangguan sistem brek tren di Stesen Jalan Ipoh punca perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya tergendala
September 23, 2026, 10:40 am
FIFA sahkan Brad Tapp layak wakili Harimau Malaya, ibu berasal dari Pulau Pinang
September 23, 2026, 10:39 am
