Berita Berita
Polis paling ramai lapor rasuah, ada pegawai berani tolak suapan RM200,000 - SPRM
PUTRAJAYA 23 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan jumlah tertinggi penjawat awam yang menerima pengiktirafan kerana melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah dengan 437 individu sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 652 penjawat awam yang menerima pengiktirafan dengan ganjaran berjumlah RM1.18 juta sepanjang tempoh berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, selain PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mencatatkan 64 penerima, diikuti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seramai 33 individu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan 21 individu.
Daripada keseluruhan 652 penjawat awam itu, seramai 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 lagi menerima sijil penghargaan.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, tetapi juga menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 Bil. 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Bagi siri penilaian 2026 pula, PDRM sekali lagi mencatatkan jumlah calon tertinggi apabila 38 daripada keseluruhan 54 calon penjawat awam yang dikemukakan untuk penilaian terdiri daripada pegawai pasukan keselamatan itu.
Selebihnya membabitkan 12 pegawai Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tiga pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang pegawai JIM.
Penilaian tahun ini membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
Antara kes berprofil tinggi yang diketengahkan ialah keberanian seorang pegawai PDRM di Perlis menolak tawaran rasuah RM200,000 berkaitan kes rampasan dadah syabu seberat 1.8 tan.
Selain itu, terdapat kes penolakan suapan berjumlah RM45,000 di Johor.
Semua calon yang dinilai sudah melepasi proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah PDRM bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan ditetapkan.
Mengulas mengenai kriteria kelayakan, Abd Halim berkata, penjawat awam yang dicalonkan perlu membuat aduan rasmi mengenai pemberian atau penerimaan rasuah serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai.
Beliau turut menyeru supaya inisiatif pemberian ganjaran diperluaskan bukan sahaja kepada agensi penguatkuasaan, malah seluruh sektor perkhidmatan awam khususnya pegawai di bahagian perolehan.
“Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Program pengiktirafan itu merupakan kesinambungan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 serta Surat Pekeliling Garis Panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.
Berita berkaitan
September 23, 2026, 2:38 pm
Mahkamah Rayuan tolak permohonan penangguhan Rosmah bayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas
September 23, 2026, 2:29 pm
Bekas guru KAFA didenda RM2,000, tendang muka murid darjah lima hingga cedera
September 23, 2026, 2:28 pm
Kes tikam pelajar Bandar Utama: Remaja mengaku suka mangsa sebelum serangan berlaku - Hakim
September 23, 2026, 2:19 pm
Peniaga taufufa tekad sumbang RM10,000 bantu denda Najib, balas jasa 14 tahun lalu
September 23, 2026, 2:09 pm
Mufti Pulau Pinang ingatkan umat Islam tidak selindungi perbuatan spiritualiti New Age guna selawat, zikir
September 23, 2026, 2:05 pm
Lelaki berstatus suami orang ditahan berkhalwat di Kluang, disyaki bersekedudukan hingga lahirkan anak
September 23, 2026, 1:51 pm
Warga asing ditawar melancong ke Malaysia siap upah RM6,000, rupanya dijadikan ‘keldai dadah’
September 23, 2026, 12:57 pm
