TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga asing ditawar melancong ke Malaysia siap upah RM6,000, rupanya dijadikan ‘keldai dadah’

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 23 Sept – Tawaran melancong ke Malaysia selama kira-kira seminggu berserta upah sehingga RM6,000 menjadi umpan sindiket antarabangsa untuk menjerat warga asing sebagai ‘keldai dadah’ bagi menyeludup bunga ganja bernilai puluhan juta ringgit ke Eropah.

Taktik itu terbongkar selepas polis menahan 12 suspek termasuk 11 warga asing yang disyaki menjadi keldai dadah dan seorang lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai ‘runner’.

Kesemua suspek diberkas menerusi 10 siri serbuan antara 28 Ogos hingga 21 September lalu di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekitar Sepang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi itu membawa kepada rampasan 671 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 418 kilogram yang dianggarkan bernilai RM33.4 juta.

Dadah berkenaan ditemukan disembunyikan di dalam bagasi yang dibawa keldai dadah terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati kesemua warga asing itu memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

"Warga asing terbabit berasal dari Asia Timur, Amerika Selatan serta Eropah dan dipercayai ditawarkan pakej melancong di sekitar Lembah Klang selama sekitar seminggu dengan upah antara RM5,000 hingga RM6,000.

"Bila kesemua mereka sudah sampai sini (Malaysia), mereka diminta membawa pulang bagasi yang kebanyakannya diserahkan di lobi hotel-hotel yang ditetapkan.

"Destinasi akhir dadah itu adalah untuk pasaran di sekitar Eropah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, Rabu.

Shazeli berkata, kes berkenaan dipercayai membabitkan sembilan sindiket dadah berbeza.

Siasatan terhadap lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘runner’ pula mendapati suspek dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, pembabitannya dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan kesemua sembilan sindiket berkenaan.

Dalam operasi sama, polis turut menyita dua kenderaan masing-masing sebuah Perodua Alza dan Toyota Vios selain pelbagai mata wang yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM37,700.

"Enam suspek telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam lagi suspek masih dalam siasatan," ujarnya.

Shazeli menegaskan tangkapan dan rampasan itu membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah berskala besar serta terancang yang boleh memberi ancaman kepada masyarakat.

+ - reset