TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah Rayuan tolak permohonan penangguhan Rosmah bayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 23 Sept. – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan penangguhan tanpa syarat terhadap perintah mahkamah yang mengarahkannya membayar RM67.5 juta kepada sebuah syarikat barang kemas dari Lebanon.

Notis usul bagi penangguhan tanpa syarat berkenaan difailkan berikutan tamatnya tempoh penangguhan bersyarat selama 30 hari bagi membayar jumlah penghakiman yang dimenangi syarikat Global Royalty Trading SAL seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Ogos lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril menegaskan bahawa Rosmah tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap perintah penangguhan bersyarat mahupun memohon lanjutan masa, sebaliknya terus memfailkan notis usul baharu.

Hakim Mohd Firuz menyatakan bahawa walaupun dalam keadaan biasa mahkamah akan menolak permohonan sedemikian secara terus, pihak mahkamah tetap menggunakan budi bicara untuk mendengar kebalikan usul berkenaan berasaskan merit kes.

Mahkamah memutuskan bahawa tiada sebarang alasan munasabah atau keadaan wajar yang membolehkan permohonan penangguhan tanpa syarat itu dibenarkan sebelum memerintahkan Rosmah membayar kos pemfailan sebanyak RM30,000.

Sesi pendengaran kes berkenaan turut dianggotai oleh dua lagi hakim Mahkamah Rayuan iaitu Hakim Datuk Amarjeet Singh dan Hakim Datuk Aliza Sulaiman.

Terdahulu, peguam mewakili Rosmah, Reza Rahim berhujah bahawa notis usul yang difailkan anak guamnya bertujuan memohon penangguhan pembayaran jumlah penghakiman RM67.5 juta berkenaan sementara menunggu rayuan penuh yang dijadualkan pada 25 Mac 2027.

Walau bagaimanapun, semasa disoal oleh Hakim Mohd Firuz, Reza mengakui bahawa Rosmah gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah perintah penangguhan bersyarat terdahulu.

Peguam mewakili Global Royalty Trading SAL, Datuk David Gurupatham yang bersidang bersama peguam Venothani Rajagopal membantah keras permohonan itu dengan membangkitkan akuan bersumpah Rosmah yang mendakwa hanya mempunyai baki RM20 dalam akaun banknya.

David menegaskan bahawa dakwaan berhubung baki akaun bank berkenaan sukar diterima akal tanpa bukti kukuh mengenai sumber pendapatan lain, sekali gus menyifatkan Rosmah telah melanggar perintah mahkamah dan pihak anak guamnya sedia menguatkuasakan perintah penghakiman.

Pihak responden ketiga yang mewakili Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia menerusi Peguam Kanan Persekutuan, Siti Aishah Ramlan pula memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan penangguhan terbabit.

Imbas kembali rentetan kes, Hakim Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon pada 10 Jun lalu memerintahkan Rosmah membayarkan RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL dalam tempoh sebulan berikutan kegagalan memulangkan 43 barang kemas bernilai tinggi.

Rosmah mendakwa 43 barangan kemas terbabit telah dirampas oleh pihak berkuasa semasa serbuan di kediamannya di Pavilion pada 17 Mei 2018 sebelum memfailkan permohonan penangguhan pembayaran.

Susulan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani pada 12 Ogos lalu memberikan penangguhan bersyarat dengan memerintahkan Rosmah memasukkan wang penghakiman berkenaan ke dalam akaun pemegang amanah bersama bagi kedua-dua pihak peguam dalam tempoh sebulan. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di FacebookInstagramTikTokThreads dan Youtube

+ - reset