TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki berstatus suami orang ditahan berkhalwat di Kluang, disyaki bersekedudukan hingga lahirkan anak

By
|
Kongsi
image

KLUANG, 23 Sept. – Taktik seorang lelaki berstatus suami orang yang disyaki bersekedudukan dengan seorang janda sehingga melahirkan seorang bayi terbongkar selepas mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan agama di sebuah pangsapuri di sini awal pagi tadi.

Pasangan berkenaan ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggota Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi satu serbuan terancang di unit kediaman terbabit kira-kira jam 1.15 pagi.

JAINJ mengesahkan bahawa lelaki berusia 50-an itu mengaku bersekedudukan bersama wanita berumur 30-an berkenaan sehingga menghasilkan seorang cahaya mata tanpa sebarang ikatan pernikahan yang sah.

Serbuan bermula selepas pihak penguat kuasa mengesan kenderaan dipercayai milik lelaki terbabit yang diletakkan di petak parkir premis berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan lanjut ke atas rumah disewa wanita itu.

Semasa serbuan dilakukan, suspek lelaki memberi alasan bahawa dia menetap di premis terbabit bersama wanita berkenaan yang didakwanya sebagai calon bakal isteri.

Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik mendapati seorang wanita berpakaian kain batik dan baju-T sedang berada di samping seorang bayi yang sedang tidur nyenyak.

Soal siasat secara mendalam yang dijalankan oleh pihak berkuasa akhirnya membongkarkan hakikat bahawa pasangan terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen atau ikatan perkahwinan yang sah di sisi undang-undang syarak.

Lelaki berkenaan yang panik dengan penahanan tersebut dilapor cuba merayu kepada penguat kuasa agar tidak dikenakan tindakan berikutan bimbang menanggung malu memandangkan dirinya dikenali ramai di sekitar daerah ini.

Hasil semakan lanjut dan maklumat yang diperoleh mengesahkan bahawa bayi berkenaan dilahirkan di hospital dan sijil kelahirannya hanya mendaftarkan nama ibu kandung tanpa maklumat bapa.

Siasatan mendapati lelaki terbabit bekerja di daerah Kluang manakala pasangannya menjalankan perniagaan secara sambilan, di mana lelaki itu sering berkunjung dan menginap di rumah sewa wanita berkenaan secara berkala.

Pasangan itu kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat serta Seksyen 23 enakmen yang sama atas kesalahan berzina. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di FacebookInstagramTikTokThreads dan Youtube

+ - reset