TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hampir sebulan ditemui dalam ruang tayar pesawat, mayat lelaki masih belum dituntut, identiti tidak dapat disahkan

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 23 Sept – Hampir sebulan selepas mayat seorang lelaki ditemukan dalam ruang pendaratan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, identitinya masih menjadi misteri apabila tiada waris tampil menuntut mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sehingga kini polis juga belum memperoleh sebarang petunjuk atau maklumat yang membolehkan identiti lelaki berkenaan disahkan.

“Tiada mana-mana individu yang tampil menyalurkan maklumat. Justeru, jika ada keluarga yang menyedari kehilangan ahli keluarga mereka atau masih belum pulang ke rumah, diminta segera berhubung dengan balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan.

“Identiti mayat terbabit juga masih belum dapat ditentukan setakat ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas bagaimana mangsa boleh berada di dalam ruang pendaratan tayar pesawat berkenaan, Shazeli berkata, perkara itu masih dalam siasatan terperinci.

Menurutnya, kejadian membabitkan pencerobohan dan penemuan individu di dalam ruang simpanan tayar pesawat bukan pertama kali berlaku.

“Ini bukan kes pertama seumpamanya. Bagaimanapun, saya enggan membuat sebarang kesimpulan awal bagi mengelakkan siasatan tersasar. Kita akan tunggu hasil siasatan kelak,” katanya.

Sebelum ini, mayat lelaki yang dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun itu ditemukan dalam keadaan mereput di kawasan parkir pesawat pada 27 Ogos lalu.

Mangsa ditemukan kira-kira jam 6.55 pagi oleh kru kejuruteraan yang terhidu bau busuk ketika ditugaskan membuka ruang tayar pesawat berkenaan.

Pesawat itu dilaporkan baru mendarat dari Tokyo, Jepun kira-kira jam 6.30 pagi.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam sebelum mayatnya ditemukan.

Ketika ditemukan, mangsa memakai seluar jeans biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stokin dan kasut sukan berwarna hitam.

Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mangsa.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dilaporkan hilang serta gagal dihubungi sejak 19 Ogos lalu, khususnya mereka yang mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar KLIA, digesa tampil ke balai polis berhampiran.

+ - reset