TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu bapa bimbang anak ‘terlalu tahu’, PEERS bantu mereka faham batas - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Sept – Kebimbangan ibu bapa bahawa Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan menyebabkan anak-anak menjadi ‘terlalu tahu’ perlu didengar, namun memilih untuk tidak memberikan pendidikan berkaitan bukan bermakna mereka tidak akan memperoleh maklumat daripada sumber lain.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, PEERS bukan semata-mata berkaitan seks, sebaliknya membantu kanak-kanak mengenali tubuh sendiri, memahami batas dan persetujuan serta mengetahui cara mendapatkan bantuan apabila berdepan situasi tidak selamat.

“Kalau kita memilih untuk diam, ruang itu tidak semestinya kekal kosong. PEERS tidak menghilangkan batas. PEERS membantu anak-anak memahami batas,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Menurut Fadhlina, kepentingan memberikan pendidikan berkenaan turut bersandarkan pengalamannya selama lebih 15 tahun menguruskan Rumah Perlindungan Bayt Al-Rahmah.

Sepanjang tempoh itu, beliau berdepan pelbagai kes membabitkan gadis bawah umur, kehamilan serta kanak-kanak daripada keluarga yang berdepan keganasan rumah tangga.

Katanya, sebahagian daripada mereka hanya mendapatkan bantuan selepas sesuatu masalah berlaku, manakala ada yang tidak memahami batas diri atau tidak mengetahui kepada siapa mereka boleh meminta pertolongan.

“Pengalaman itulah yang selalu mengingatkan saya bahawa ada ilmu yang tidak sepatutnya kita tunggu sehingga sesuatu berlaku untuk diajar. Anak-anak perlu mengenali tubuh sendiri, memahami batas, tahu tentang persetujuan dan tahu mendapatkan bantuan apabila berhadapan dengan sesuatu yang tidak selamat,” katanya.

Terdahulu, Fadhlina merasmikan Seminar Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

Beliau berkata, kebimbangan sesetengah ibu bapa terhadap pelaksanaan PEERS perlu diberikan perhatian, namun perubahan dunia hari ini juga memerlukan pendekatan pendidikan yang bersesuaian bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengetahuan daripada sumber yang betul.

+ - reset