TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Kenapa dia nak keluar? Dia tidak ada salah’ - Anwar pujuk Loke jangan letak jawatan

By
|
Kongsi
image

 

HANGZHOU 23 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempertimbangkan semula hasratnya untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Anwar berkata, DAP juga tidak seharusnya tunduk kepada tekanan pihak yang mempunyai kepentingan politik sehingga mengambil keputusan keluar daripada kerajaan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mempersoalkan desakan pihak tertentu supaya bukan sahaja Loke berundur, malah keseluruhan DAP meninggalkan kerajaan.

"Ada orang kata, kenapa Anthony Loke? Patut semua DAP keluar. Itu cadangan siapa? Kenapa dia nak keluar? Dia tidak ada salah. Bukan dia cadangkan (keputusan pengampunan), malah dia cuba sedaya upaya menolak.

"Jadi saya fikir DAP jangan tunduk kepada tekanan orang ada kepentingan, kerana dia mahu kerajaan tidak stabil. Mereka mahu cari jalan melemahkan kerajaan menggunakan muslihat kotor ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou.

Anwar mengulas keputusan Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Pada 19 September lalu, Loke mengumumkan tawaran peletakan jawatan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selama tiga jam. Menteri dan timbalan menteri DAP lain diputuskan kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Loke dalam masa terdekat bagi mendengar penjelasan rasmi sebelum memberikan pandangannya supaya keputusan berkenaan dipertimbangkan semula.

Perdana Menteri berkata, beliau menghormati prinsip perjuangan Loke dan DAP yang konsisten menentang kleptokrasi serta rasuah sejak sekian lama sehingga menyebabkan parti itu berdepan kesukaran menerima perkembangan berhubung pengampunan berkenaan.

"Saya bagi ruang dan tidak mahu terburu-buru kerana hormat keputusan beliau. Beliau bukan menentang keputusan saya atau Kerajaan MADANI dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

"Beliau fikir sukar untuk mempertahankan keputusan Lembaga Pengampunan itu apabila partinya, malah Pakatan Harapan (PH) sejak awal mempunyai pendirian cukup tegas dalam bab ini," katanya.

Anwar turut mendedahkan isu serta pandangan berhubung perkara berkenaan sudah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim termasuk pendirian Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak supaya memahami keterbatasan kuasa Eksekutif di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan dalam urusan pengampunan.

Anwar turut menolak dakwaan pihak tertentu kononnya wujud kompromi atau pakatan rahsia antara beliau dengan kepimpinan UMNO berhubung perkara itu.

Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah mengemudi negara secara bijaksana, mengekalkan kestabilan politik, menjaga hubungan baik dengan institusi Raja-Raja Melayu serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru seluruh rakyat tanpa mengira kaum supaya memegang prinsip taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara menerusi istilah ‘Wangyue’ yang membawa simbolik kesetiaan kepada kerajaan.

+ - reset