TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Malaysia tak boleh paksa pelarian pulang ke tempat mereka berisiko dianiaya' – MSF desak kerajaan henti hantar warga Myanmar pulang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Sept – Pertubuhan perubatan antarabangsa, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggesa Malaysia menghentikan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar yang dijadualkan pada 29 September ini susulan kebimbangan terhadap konflik dan keganasan yang masih berlaku di negara berkenaan.

MSF turut menggesa kerajaan mendedahkan maklumat mengenai kewarganegaraan, umur serta risiko perlindungan yang dihadapi setiap individu yang dikenal pasti untuk dihantar pulang.

Menurut pertubuhan itu, pelarian dan pemohon suaka yang berdepan risiko penganiayaan atau ancaman serius tidak seharusnya dihantar kembali ke tempat yang boleh membahayakan mereka.

"Selain itu, Malaysia juga perlu memastikan keperluan perlindungan setiap individu yang tertakluk pada proses penghantaran pulang dinilai secara menyeluruh berdasarkan piawaian antarabangsa.

"Meskipun bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, Malaysia tetap terikat dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang melarang pemulangan secara paksa iaitu kewajipan untuk tidak menghantar seseorang kembali ke negara yang boleh menyebabkan mereka berdepan dengan penganiayaan," katanya dalam kenyataan semalam

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), pada 2025, Myanmar menduduki tempat kedua di dunia dari segi keamatan konflik dan keempat sebagai negara paling berbahaya kepada orang awam.

Lebih separuh penduduk negara itu terdedah kepada keganasan selain berdepan krisis kemanusiaan yang meruncing akibat konflik bersenjata, bencana alam dan ketidakstabilan ekonomi.

MSF yang beroperasi di Myanmar sejak 1992 masih menjalankan operasi di Rakhine, Kachin, Shan Utara serta Yangon dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan selain program bekalan air, sanitasi dan kebersihan.

MSF berkata, Malaysia pada 5 Ogos lalu menyatakan proses penghantaran pulang tidak akan diteruskan sekiranya pelarian terbabit berisiko dianiaya atau nyawa mereka terancam.

"Namun demikian, pengumuman terbaharu Kerajaan Malaysia memberikan gambaran bahawa jaminan itu mungkin tidak lagi terpakai.

"Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap perlindungan hak asasi manusia.

"Pasukan kami menyaksikan sendiri bagaimana konflik dan ketidakamanan terus menjejaskan perkhidmatan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan serta sumber mata pencarian masyarakat di pelbagai wilayah Myanmar," katanya.

Menurut MSF, pelarian termasuk etnik Rohingya dan kumpulan minoriti lain yang dianiaya sudah melalui serta masih menanggung penindasan dan keganasan sejak berdekad-dekad lalu.

Katanya, mereka terpaksa menjalani kehidupan serba terkekang dan berada dalam ketidakpastian sementara menunggu peluang penempatan semula dari Malaysia.

"Justeru MSF menggesa Malaysia menghentikan semua penghantaran pulang pelarian ke tempat yang masih dilanda keganasan dan bahaya yang memaksa mereka melarikan diri.

"Kerajaan juga perlu memastikan bahawa sebarang proses berkaitan dilaksanakan secara telus sepenuhnya serta mematuhi piawaian antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan 1,476 individu berkenaan adalah sebahagian daripada 5,000 warga Myanmar yang akan dihantar pulang secara berperingkat menerusi Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela.

KDN menyatakan individu terbabit adalah mereka yang layak dan bersetuju untuk kembali ke negara asal, manakala proses berkenaan akan dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab serta mengikut prosedur yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar.

Kerajaan turut memaklumkan lebih 4,000 warga Myanmar, khususnya etnik Rohingya, akan melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

+ - reset