TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar Tingkatan Dua ditemukan maut di asrama dipercayai dipukul senior di Kuala Pilah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA PILAH 26 Sept – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah sukan di daerah ini meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), malam tadi.

Mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik berasal dari Gemencheh dan dikenali sebagai seorang pelajar yang aktif dalam bidang sukan.

Sumber mendakwa kematian pelajar berkenaan mempunyai kaitan dengan kejadian buli, namun perkara itu masih dalam siasatan polis.

“Itu berdasarkan maklumat yang saya peroleh, mangsa ditemukan pengsan di asrama lalu kejadian itu dimaklumkan kepada warden. Pihak asrama seterusnya membawa mangsa ke wad kecemasan HTAN bagi rawatan lanjut,” katanya.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” katanya.

Sepupu mangsa pula memaklumkan remaja berkenaan sememangnya aktif bersukan dan memasuki sekolah tersebut susulan kecemerlangannya dalam sukan bola baling.

Tinjauan di HTAN mendapati ibu mangsa yang kelihatan sugul dibawa keluar dari Zon Kritikal menggunakan kerusi roda.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar turut hadir menziarahi keluarga mangsa.

Adnan berkata, beliau bergegas ke hospital selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh pihak polis.

“Saya dimaklumkan kejadian ini melibatkan pelajar tingkatan dua dan polis sedang menjalankan siasatan. Guru mangsa memaklumkan mangsa merupakan pelajar yang aktif dalam sukan memanah di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.

“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban,” katanya.

+ - reset