TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Audit segera sekolah di Kuala Pilah susulan kematian murid Tingkatan Dua - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 26 Sept. – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, berikutan kematian seorang murid Tingkatan Dua malam tadi.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, audit itu bertujuan meneliti aspek keselamatan serta pematuhan tatacara di sekolah berkenaan, selain memastikan tiada sebarang ketidakpatuhan terlepas daripada perhatian.

Beliau memberi jaminan bahawa KPM akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan, berikutan penahanan seorang pelajar bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Tiada pihak akan dilindungi jika didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam kes ini. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia malam tadi selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya, dipercayai akibat dibuli. Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Fadhlina yang hadir ke sekolah berkenaan pagi ini bagi mendapatkan penjelasan daripada warga sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PDRM turut melawat ahli keluarga mangsa di hospital bagi menyampaikan ucapan takziah.

Selain memberi kerjasama kepada pihak polis, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan dengan kejadian tragis itu.

+ - reset