TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Terlupa cabut pengecas ‘sex toy’, tilam pula terbakar di Melaka

By
|
Kongsi
image

ALOR GAJAH 28 Sept – Tindakan membiarkan alat pengecas elektronik dipercayai bagi permainan seks terus terpasang disyaki menjadi punca sebuah tilam terbakar di sebuah rumah di Taman Belimbing Harmoni, Durian Tunggal, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.55 tengah hari di sebuah bilik yang tidak berpenghuni, namun kebakaran tidak merebak sehingga menjejaskan struktur rumah berkenaan.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, tujuh anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan.

“Setibanya pasukan keluaran operasi di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah tilam di dalam bilik rumah yang tidak berpenghuni.

“Pemeriksaan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari sebuah alat pengecasan elektronik yang dibiarkan terpasang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 1.59 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.03 petang.

Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian tersebut.

+ - reset