TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Arwah seperti seorang ibu, selalu tanya dah makan ke belum, cukup rehat?' - Mohd Shuhaily kongsi kenangan bersama Dr Hasmah

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 28 Sept – “Dah makan ke belum? Cukup rehat?”

Soalan ringkas itu menjadi kenangan yang tidak dilupakan bekas anggota Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika bertugas mengiringi Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Menurut Mohd Shuhaily, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sentiasa mengambil berat kebajikan anggota keselamatan yang menjalankan tugas mengiringi pasangan negarawan berkenaan, termasuk memastikan mereka mendapat rehat dan makanan yang mencukupi.

Katanya, sikap prihatin itu menjadikan Allahyarhamah bukan sekadar isteri kepada seorang Perdana Menteri, malah dianggap seperti seorang ibu oleh anggota keselamatan yang pernah berkhidmat bersama beliau.

"Keprihatinan Allahyarham membuatkan beliau bukan sekadar isteri kepada seorang Perdana Menteri, sebaliknya sudah dianggap seperti seorang ibu.

"Bagi kami yang berada dalam pasukan keselamatan, beliau seperti seorang ibu. Saya sendiri meremang apabila mengenangkannya,” katanya ketika berkongsi kenangan mengenai Allahyarhamah di Pusara Negara Presint 20 pada Isnin.

Mohd Shuhaily yang kini Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, antara kenangan paling bermakna ialah ketika beliau meraikan hari lahir bersama Dr Hasmah di Baltimore, Amerika Syarikat sekitar 2012 atau 2013.

Menurutnya, mereka berkongsi tarikh lahir yang sama dan perkara itu masih diingati oleh Allahyarhamah.

"Saya berada di Baltimore ketika hari lahir dan tiba-tiba Tun (Dr Hasmah) teringat saya ada di situ. Beliau panggil saya dan berkata, 'Shuhaily, your birthday sama dengan saya kan?'

"Saya jawab, 'Ya, Tun’, kemudian beliau mengajak saya meraikannya bersama. Itulah kenangan yang tidak akan saya lupakan," katanya.

Beliau berkata, setiap kali bertemu selepas itu, Allahyarhamah masih mengenali dan mengingatinya walaupun mereka tidak sering berjumpa.

Mohd Shuhaily turut berkongsi pengalaman mengetuai pasukan keselamatan ketika lawatan pertama Tun Dr Mahathir ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas kembali menjadi Perdana Menteri pada 2018.

Katanya, beliau menyaksikan sendiri bagaimana Dr Hasmah sentiasa menjadi tonggak sokongan kepada suaminya sepanjang perjalanan tersebut.

Dalam setiap fasa perjalanan, Allahyarhamah kekal sebagai pendamping dan penyokong kuat kepada Tun Dr Mahathir.

"Pemergiannya satu kehilangan kepada negara,” katanya.

+ - reset