TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal maut, pembonceng cedera dirempuh bas Rapid KL di Persiaran Subang Permai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 28 Sept. – Seorang individu dilaporkan terkorban manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas Rapid KL yang dalam perjalanan menuju ke Subang Mewah jam 6.19 pagi tadi.

Pengurusan Rapid KL memaklumkan menerusi satu kenyataan media bahawa bas berkenaan melanggar beberapa buah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sewaktu melalui kawasan Persiaran Subang Permai.

Insiden berkenaan turut melibatkan sebuah motosikal yang berada di lokasi kejadian sehingga menyebabkan penunggang serta pemboncengnya mengalami kecederaan parah.

Pasukan perubatan yang tiba bersama jentera ambulans pada jam 7.07 pagi mengesahkan salah seorang daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Mangsa yang terselamat namun mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan perubatan lanjut.

Syarikat kenderaan awam itu turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan ngeri berkenaan.

Pengurusan pengendali bas berkenaan memberi jaminan untuk menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan terperinci mengenai punca kejadian.

Syarikat terbabit menegaskan komitmen berterusan untuk senantiasa mengutamakan aspek keselamatan penumpang, kakitangan, serta seluruh pengguna jalan raya lain.

+ - reset