TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Hantar balik sekolah memandu', pelajar dirempuh penunggang motosikal hingga terpelanting

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 SEPTEMBER - Tindakan melulu penunggang motosikal yang menunggang laju dipercayai di kawasan sekolah telah merempuh seorang pelajar baru-baru ini.

Kejadian yang dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta memperlihatkan seorang pelajar perempuan yang baru keluar dari sebuah kenderaan sedang melintas jalan menggunakan laluan pejalan kaki yang disediakan. 

Walaupun kenderaan hadapan dan pemilik dashcam telah berhenti bagi memberi laluan, penunggang motosikal dari arah belakang secara tiba-tiba meluru laju tanpa mempedulikan keselamatan lalu merempuh mangsa dengan kuat sehingga terpelanting ke bahu jalan.   

Impak rempuhan itu menyaksikan penunggang terbabit turut terseret bersama kenderaannya, manakala mangsa yang terjatuh kelihatan cuba bangun sambil dibantu oleh pemandu kereta lain yang berada di tempat kejadian. 

Insiden itu turut jelas kedengaran menerusi reaksi cemas pemandu kereta yang merakam detik cemas terbabit.  

Video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Meli Limaunipis mencetuskan kemarahan orang ramai yang menyelar sikap tidak bertanggungjawab penunggang motosikal berkenaan. 

Kebanyakan pengguna media sosial mendesak agar penunggang motosikal sedemikian dihantar semula ke sekolah memandu untuk mempelajari semula peraturan laluan awam serta mematuhi hak pejalan kaki di lintasan zebra.   

Selain menegur kecuaian penunggang, orang ramai turut mengingatkan ibu bapa agar lebih berwaspada ketika menurunkan anak-anak di kawasan jalan raya. 

Para ibu bapa disarankan untuk memastikan keselamatan anak-anak terjamin sehingga selamat melangkah ke dalam kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berulang.  

+ - reset