TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bapa dipenjara 13 tahun kerana bunuh lelaki rogol anak berusia 12 tahun

By
|
Kongsi
image

TAWAU 1 Okt - Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 13 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan senegaranya yang didakwa merogol anak perempuannya berusia 12 tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 30 tahun berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum pertuduhan digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 2 September 2024.

Dia turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menyebabkan kematian lelaki berusia 33 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Tawau antara jam 7.30 malam, 31 Ogos hingga tengah hari, 1 September 2024.

Berdasarkan fakta kes, kejadian tercetus selepas anak perempuan tertuduh yang ketika itu berusia 12 tahun memberitahu ibunya bahawa dia dirogol mangsa ketika dalam perjalanan pulang daripada sebuah majlis keramaian pada malam kejadian.

Selepas mengetahui perkara itu, tertuduh mengambil sebilah parang sebelum keluar mencari mangsa.

Dia kemudian menemui mangsa dan mengejarnya hingga ke kawasan reban ayam berhampiran sebelum melibas lelaki berkenaan beberapa kali.

Pemeriksaan di Hospital Tawau mendapati terdapat koyakan baharu pada bahagian sulit kanak-kanak berkenaan.

Analisis Jabatan Kimia Malaysia pula mendapati DNA mangsa terdapat pada kepingan kuku anak tertuduh, manakala kesan air mani pada seluar dalamnya sepadan dengan DNA mangsa.

Polis turut merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu ketika tertuduh ditahan di rumahnya pada 2 September 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Jhessery P Kang.

 

Sumber: Harian Metro

Gambar: Harian Metro

+ - reset