TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Langgar pelajar di lintasan zebra depan sekolah, penghantar makanan mengaku tidak bersalah

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 1 Okt - Seorang penghantar makanan yang tular susulan kemalangan membabitkan seorang pelajar di lintasan zebra didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara tidak cermat.

Muhammad Haziq Izzuddin Ruslan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Haziq yang menunggang motosikal Yamaha didakwa memandu kenderaan di atas jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki di Persiaran Saujana 4, Daerah Sungai Buloh pada jam 12.08 tengah hari, 28 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 serta penjara tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya yang tidak bekerja.

"Dia tidak mempunyai pendapatan tetap, maka jumlah yang tinggi akan menyukarkan keluarga untuk mengumpul wang bagi ikat jamin.

"Selepas kejadian, dia tidak melarikan diri dan berada bersama mangsa di tepi jalan," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya dia melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 November depan.

Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial pada Isnin lalu, memaparkan seorang pelajar dirempuh sebuah motosikal ketika sedang melintas di lintasan zebra.

Akibat rempuhan berkenaan, pelajar terbabit kelihatan berguling di atas jalan manakala penunggang motosikal turut terjatuh dengan motosikalnya terseret di atas jalan.

+ - reset