TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu New Age Movement: Marhamah sedia letak jawatan jika terbukti menyesatkan orang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Okt - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan beliau bersedia meletakkan jawatan sekiranya terbukti di mahkamah bahawa dirinya benar-benar menyesatkan orang ramai.

Kenyataan itu dibuat susulan desakan supaya beliau berundur berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan fahaman New Age Movement (NAM).

“Saya akan letak jawatan hanya apabila terbukti saya betul-betul menyesatkan orang dan betul-betul ada orang yang saya sesatkan.

“Buktikan di mahkamah,” katanya selepas merasmikan Program Hi-Tea Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2026, di sini, hari ini.

Terdahulu, PAS Sabah menggesa Marhamah meletakkan jawatan sekiranya pihak berkuasa agama mengesahkan beliau terbabit atau menyokong fahaman NAM.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dilaporkan berkata, penelitian menyeluruh berasaskan bukti sahih dan disiplin ilmu perlu dilakukan pihak berkuasa agama bagi menentukan kedudukan sebenar isu berkenaan.

Kontroversi itu turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sebelum ini mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah susulan dakwaan mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.

Sesi berkenaan turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah JAKIM serta pihak berkaitan.

JAKIM memaklumkan beberapa teguran, nasihat dan panduan diberikan susulan penelitian berkenaan, termasuk berkaitan kandungan serta pengisian program dan pendekatan yang mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah.

Marhamah sebelum ini menafikan dirinya menganut, mengamalkan atau menyebarkan NAM serta menegaskan beliau kekal berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas lanjut perkembangan berkenaan, Marhamah berkata beliau tidak mahu mendahului kenyataan yang sudah dikeluarkan JAKIM.

“JAKIM sudah mengeluarkan kenyataan media dan saya tidak boleh ulas lanjut.

“Doakan Allah jaga kita semua,” katanya.

+ - reset