TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Untuk ubah sesuatu ada harga, jika harga itu adalah diri saya maka saya bayar dengan diri saya' - Mohd Shuhaily

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 1 Okt - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berlaku kontak fizikal antara beliau dengan seorang individu dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang rakamannya tular baru-baru ini.

Mohd Shuhaily berkata, beliau tidak mahu mengulas sama ada kontak fizikal seperti dinyatakan dalam laporan polis itu benar-benar berlaku bagi mengelakkan perkara berkenaan menjadi pertikaian antara kedua-dua pihak.

“Saya tidak mahu mengulas sama ada kontak tersebut berlaku ataupun tidak kerana nanti ia akan menjadi ‘my words against his words’. Tak habis.

“Saya biarkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lebih lanjut,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan rakaman video tular membabitkan dirinya di KLIA.

Mengulas kejadian pada 28 September lalu, Mohd Shuhaily berkata, ia berlaku ketika beliau bersama pasukannya melakukan tinjauan persediaan dan kesiapsiagaan AKPS bagi menghadapi kemasukan pengunjung sempena penganjuran Formula 1 hujung minggu ini.

Selepas tinjauan selesai, beliau berkata, pegawai AKPS dengan bantuan pegawai Keselamatan Penerbangan (AVSEC) menjalankan penguatkuasaan terhad susulan aduan mengenai kegiatan sindiket ‘ulat’ membabitkan warga asing yang didakwa semakin ketara di lapangan terbang berkenaan.

Menurutnya, pihak berkuasa turut berdepan isu cubaan penyeludupan dadah ke Eropah serta kontraban lain.

“Selain faktor itu, kita juga berdepan isu cubaan menyeludup dadah ke Eropah dan kontraban lain. Hampir setiap hari kita menjumpai sindiket yang cuba menyeludup dadah ke Eropah.

“Jadi, apabila mengambil kira kedua-dua faktor ini, saya membuat keputusan pada hari tersebut untuk menjalankan penguatkuasaan terhad di aras lima,” katanya.

Dalam operasi itu, seorang warga asing yang disyaki terbabit dengan sindiket ‘ulat’ ditahan sebelum dibawa ke bilik pemeriksaan bagasi AVSEC untuk tindakan lanjut.

Mohd Shuhaily menegaskan penguatkuasaan tersebut hanya membabitkan pegawai AKPS dan AVSEC.

“Ingin saya tegaskan di sini setegas-tegasnya bahawa penguatkuasaan itu hanya melibatkan pegawai AKPS dan AVSEC.

“Dalam bilik itu, sepatutnya hanya ada pegawai daripada AKPS dan AVSEC sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa dua individu tidak dikenali muncul dan merakam tindakan pasukannya ketika menemu bual warga asing berkenaan.

Selepas kedua-duanya didekati pegawai AKPS dan rakaman diperiksa, arahan diberikan supaya rakaman berkenaan dipadamkan.

“Saya telah memberikan amaran yang paling tegas, setegas-tegasnya sebagai seorang pegawai polis yang telah diamanahkan dan biasa memberi arahan setegas-tegasnya,” katanya.

Menurut Mohd Shuhaily, satu laporan polis dibuat terhadapnya sehari selepas kejadian, diikuti satu lagi laporan kira-kira jam 5 pagi pada 30 September.

Susulan itu, beliau dan pasukannya turut membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud usaha mencemarkan nama serta imej AKPS dan dirinya.

Dalam sidang media sama, Mohd Shuhaily mengakui dirinya tidak sempurna dan bersedia berdepan dengan kekurangan tersebut.

“Saya tidak sempurna. Saya telah mengatakan perkara itu banyak kali.

“Dan hari ini, saya berdiri di hadapan tuan-tuan, saya mengakui dan berdepan dengan ketidaksempurnaan saya,” katanya.

Mohd Shuhaily turut memaklumkan perkara berkenaan sudah dibawa kepada pengetahuan peringkat tertinggi kerajaan dan kementerian berkaitan serta beliau menerima keputusan yang dibuat.

Katanya, setiap usaha untuk melakukan perubahan mempunyai harga yang perlu dibayar dan beliau bersedia menanggungnya sekiranya dirinya menjadi harga kepada perubahan tersebut.

“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada peringkat tertinggi kerajaan dan kementerian.

“Saya menerima keputusan mereka kerana bagi saya, untuk mengubah sesuatu, ada harga yang perlu dibayar.

“Dan jika harga itu adalah saya, maka saya akan membayarnya dengan diri saya sendiri,” katanya.

+ - reset