TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya tak mahu KLIA jadi macam Selayang' - Mohd Shuhaily

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 1 Okt - “Saya tidak mahu KLIA jadi macam Selayang.”

Itu penegasan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang mahu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing dan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan pintu masuk negara.

Mohd Shuhaily berkata, penubuhan AKPS mempunyai objektif yang jelas dan bukan sekadar memenuhi syarat, sebaliknya diberikan amanah untuk memperkukuh keselamatan serta membanteras elemen jenayah di pintu masuk negara.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua termasuk yang meminta saya teruskan apa jua usaha untuk memperbaiki keselamatan pintu masuk negara.

“Saya amat-amat menghargainya dan itulah semangat saya pegang untuk saya terus berusaha untuk mengubah prasarana ataupun keselamatan di pintu masuk negara.

“Saya tidak mahu KLIA jadi macam Selayang. Jadi saya rasa cukup jelas inisiatif dan motivasi kami di AKPS ini.

"Kerajaan menubuhkan kami ada sebab, bukan suka-suka,” katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Menurut Mohd Shuhaily, usaha memperkukuh tahap keselamatan di KLIA dan pintu masuk negara lain akan terus diberikan perhatian selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada AKPS.

Katanya, sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak turut menjadi dorongan kepadanya dan warga AKPS untuk meneruskan usaha menambah baik aspek keselamatan serta prasarana di pintu masuk negara.

Beliau menegaskan AKPS mempunyai peranan penting dalam memastikan pintu masuk negara tidak menjadi ruang kepada kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Ketika saya mula menyertai AKPS, rakan pasukan banyak membantu dan membimbing mengenai hala tuju agensi ini.

"Saya berterima kasih kepada pasukan saya, bukan sahaja di ibu pejabat malah di semua di pintu masuk negara, semakin hari semakin menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.

+ - reset