Berita Berita
Dari RM2.4 juta ke RM33.7 juta setahun, Berjaya Hills pertahan hak dalam pertikaian cukai tanah Pahang
KUALA LUMPUR 3 Okt – Berjaya Hills Resort Bhd (Berjaya Hills) menyifatkan tindakan penguatkuasaan terhadap hartanah miliknya di Bukit Tinggi, Pahang sebagai “tidak munasabah dan sama sekali tidak boleh diterima”, ketika pertikaian berhubung kenaikan cukai tanah sehingga 13 kali ganda masih melalui proses perundangan.
Syarikat di bawah Berjaya Corp Bhd itu berkata, tindakan berkenaan turut menjejaskan jangkaan sah syarikat untuk meneruskan perniagaan dan operasinya secara aman di kawasan berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan pelucuthakan terhadap premis Berjaya Hills pada 28 September lalu.
"Langkah sedemikian oleh kerajaan negeri Pahang akan memberi kesan negatif dan menjejaskan pelaburan masa depan oleh pelabur tempatan dan asing di negeri Pahang," kata Berjaya Hills.
Berjaya Hills memiliki tanah serta mengendalikan beberapa hotel dan resort di destinasi tanah tinggi berhampiran Bentong termasuk Colmar Tropicale, The Chateau Spa & Wellness Resort dan Berjaya Hills Golf Resort.
Pertikaian antara syarikat itu dengan Kerajaan Negeri Pahang berpunca daripada kenaikan cukai tanah daripada kira-kira RM2.4 juta pada 2019 kepada RM33.7 juta pada 2020, iaitu peningkatan kira-kira 13 kali ganda.
Berjaya Hills menyifatkan kenaikan berkenaan sebagai “luar biasa dan belum pernah berlaku” di Malaysia.
Susulan 11 rayuan yang dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Pahang antara April 2020 hingga Disember 2022, jumlah itu kemudian dikurangkan kepada RM25.75 juta setahun.
Namun, kadar berkenaan masih hampir 10 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah cukai tanah yang dikenakan pada 2019.
Selepas beberapa siri rayuan, Berjaya Hills mengambil langkah mencabar semakan kadar cukai tanah itu di Mahkamah Tinggi pada April 2023.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan berkenaan selepas memutuskan bahawa ia tidak boleh campur tangan dalam keputusan dasar kerajaan negeri berkaitan semakan kadar cukai tanah.
Syarikat itu kemudian membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Rayuan, namun rayuannya ditolak pada Julai lalu.
Tidak terhenti di situ, Berjaya Hills pada Ogos lalu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran membawa pertikaian berkenaan ke Mahkamah Persekutuan dengan pendengaran dijadualkan pada 8 Disember ini.
Dalam perkembangan terbaharu, Berjaya Hills memperoleh penangguhan sementara terhadap tindakan pelucuthakan yang membabitkan kuarters kakitangan, dobi pusat dan beberapa kemudahan penting lain.
Berjaya Hills berkata, pihaknya berharap proses undang-undang berkenaan akan menghasilkan keputusan positif.
Pada masa sama, syarikat itu berharap Kerajaan Negeri Pahang bersedia meneruskan rundingan secara konstruktif bagi mencari penyelesaian secara baik yang boleh diterima kedua-dua pihak.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 122 hak milik tanah milik Berjaya di sekitar Bukit Tinggi, Bentong dilucuthakkan kepada Kerajaan Negeri Pahang susulan tunggakan cukai tanah berjumlah lebih RM70 juta.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali berkata, lokasi terbabit termasuk kuarters pekerja, dobi, taman arnab dan taman Jepun.
"Pada 28 September 2026, UPNP melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap tanah milik syarikat Berjaya Sdn Bhd di Bukit Tinggi, yang telah dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
"Sebanyak 122 hak milik yang dilucuthak telah disita, manakala struktur kekal yang berada atas tanah kerajaan telah dikosongkan dan dikunci, dengan pemasangan rantai dan mangga.
"Tindakan dilaksanakan selepas pihak Berjaya gagal menyelesaikan tunggakan cukai tanah sebanyak RM 70,481,097 melibatkan keseluruhan 122 hak milik, yang tertunggak seawal tahun 2020," katanya.
Berita berkaitan
October 3, 2026, 3:11 pm
Imigresen tahan 37,313 PATI dalam sembilan bulan, 1,692 majikan rakyat Malaysia turut dicekup
October 3, 2026, 2:05 pm
Penceramah motivasi ditahan, direman kes dakwaan gangguan seksual kanak-kanak
October 3, 2026, 10:11 am
Sekolah 2027 bermula 4 Januari, KPM umum kalendar akademik baharu
October 2, 2026, 6:32 pm
Pemuda PAS pertahan Mohd Shuhaily, mahu isu kebocoran sempadan diberi keutamaan
October 2, 2026, 6:19 pm
Chean Chung tak aktif aktiviti parti sejak lebih setahun lalu - Anwar
October 2, 2026, 5:39 pm
Mulai 5 Oktober, semua perkhidmatan JPJ menerusi MYEG digantung
October 2, 2026, 5:29 pm
Pecutan ‘Pocket Rocketman’ di selekoh terakhir, Azizulhasni hadiah emas kelapan negara
October 2, 2026, 5:14 pm
