Berita Berita
Imigresen tahan 37,313 PATI dalam sembilan bulan, 1,692 majikan rakyat Malaysia turut dicekup
PUTRAJAYA 3 Okt – Lebih 37,000 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menerusi lebih 10,000 operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 29 September lalu, sebanyak 10,374 operasi dilaksanakan dengan 137,603 individu diperiksa.
Daripada jumlah itu, seramai 37,313 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada warga asing, sebaliknya turut menyasarkan majikan yang disyaki menggaji atau melindungi PATI.
"Sebanyak 1,809 majikan ditangkap, dengan majoriti besar iaitu 1,692 daripadanya adalah warganegara Malaysia yang bersubahat menggaji dan melindungi PATI," katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Saifuddin berkata, jumlah tangkapan itu menunjukkan pendekatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu tindakan turut dikenakan terhadap pihak yang menggaji, melindungi atau memudahkan kehadiran PATI.
Rekod tangkapan majikan juga menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 346 orang pada 2023 kepada 1,859 pada 2024 dan 2,202 pada 2025.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 1,809 majikan sudah ditahan.
"Penguatkuasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada PATI, tetapi mesti turut sampai kepada pihak yang menggaji, melindungi dan mengambil kesempatan daripada kewujudan mereka," katanya.
Menurut Saifuddin, KDN dan JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara dan mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menangani isu PATI.
Beliau menyifatkan kehadiran PATI sebagai masalah berpanjangan yang menurutnya turut diburukkan oleh kelemahan dan ketirisan dalam sistem pentadbiran terdahulu sehingga dieksploitasi sindiket serta majikan tidak bertanggungjawab.
Katanya, tindakan penguatkuasaan juga tidak seharusnya hanya dilakukan apabila sesuatu kes mendapat perhatian masyarakat.
"Ini bukanlah penguatkuasaan bermusim dan ia tidak hanya dilaksanakan apabila sesuatu isu menjadi tumpuan perhatian.
"Tanpa mengira siapa atau apa kedudukan mereka, KDN dan JIM akan terus memutuskan rantaian disalah guna ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan tanah air," katanya.
Pada masa sama, Saifuddin mengingatkan warga asing yang memasuki Malaysia supaya menggunakan saluran sah dan mematuhi undang-undang imigresen negara.
Tindakan akan diambil terhadap individu yang terbabit dalam kemasukan secara haram, pemalsuan dokumen atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Majikan pula diberi amaran supaya tidak menggaji atau melindungi PATI demi memperoleh keuntungan kewangan.
Berita berkaitan
October 3, 2026, 3:39 pm
Jatuh ketika cuba lari, budak 8 tahun cedera digigit anjing liar di kepala dan leher
October 3, 2026, 3:31 pm
Proton Wira jatuh sungai ditemukan kosong, warga emas masih hilang selepas 13 jam
October 3, 2026, 2:05 pm
Penceramah motivasi ditahan, direman kes dakwaan gangguan seksual kanak-kanak
October 3, 2026, 11:18 am
Dari RM2.4 juta ke RM33.7 juta setahun, Berjaya Hills pertahan hak dalam pertikaian cukai tanah Pahang
October 3, 2026, 10:11 am
Sekolah 2027 bermula 4 Januari, KPM umum kalendar akademik baharu
October 2, 2026, 6:32 pm
Pemuda PAS pertahan Mohd Shuhaily, mahu isu kebocoran sempadan diberi keutamaan
October 2, 2026, 6:19 pm
Chean Chung tak aktif aktiviti parti sejak lebih setahun lalu - Anwar
October 2, 2026, 5:39 pm
