Berita Berita
'Keselamatan jadi keutamaan' - Barisan panjang, bas lewat di F1, Ahli Parlimen Sepang gesa tindakan segera sebelum Ahad
SEPANG 3 Okt – Aduan pengunjung Formula 1 (F1) mengenai barisan panjang, kelewatan bas perantara, kesesakan serta kesukaran mendapatkan kemudahan asas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) perlu diselesaikan segera menjelang kemuncak perlumbaan pada Ahad.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, beliau mengambil maklum rungutan pengunjung dan akan turun sendiri ke lapangan bagi meninjau aliran pergerakan orang ramai serta mendapatkan gambaran sebenar daripada agensi dan petugas terlibat.
Menurutnya, penganjuran F1 bukan sekadar acara sukan bertaraf antarabangsa, sebaliknya turut membawa nama Sepang dan Malaysia ke pentas dunia.
Justeru, sebarang kelemahan membabitkan mobiliti, pengurusan orang ramai, bekalan air serta aliran keluar masuk pengunjung perlu segera ditangani dan ditambah baik.
“Pendekatan ini bukan soal mencari salah mana-mana pihak, sebaliknya memastikan keselamatan, keselesaan dan pengalaman pengunjung sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aiman Athirah berkata, beliau turut mendapatkan penjelasan mengenai operasi bas perantara termasuk kapasiti, kekerapan perjalanan, lokasi tumpuan dan pengurusan penumpang ketika waktu puncak.
Menurutnya, tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada tindakan pembetulan segera sebelum jumlah pengunjung dijangka meningkat pada kemuncak acara Ahad.
Antara langkah yang dicadangkan ialah menambah kapasiti dan kekerapan bas di lokasi sesak serta mengagihkan bas secara dinamik berdasarkan kepadatan penumpang dan keadaan semasa.
Jumlah petugas kawalan barisan dan pengurusan orang ramai juga perlu diperkukuh bagi memastikan pergerakan pengunjung lebih teratur.
Selain itu, papan tanda serta maklumat perjalanan perlu diperjelaskan bagi memudahkan pengunjung menentukan laluan, selain memastikan bekalan air minuman dan kawasan teduh mencukupi terutama di kawasan menunggu.
Aiman Athirah turut mahu laluan keluar yang selamat disediakan bagi mengelakkan pengunjung terdedah kepada risiko lalu lintas dan kesesakan.
Pelan khas bagi menguruskan pergerakan keluar penonton sebaik sahaja perlumbaan tamat pada Ahad juga dicadangkan bagi mengelakkan puluhan ribu pengunjung bergerak keluar secara serentak.
Beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan pengurusan SIC, Rapid KL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi pengangkutan berkaitan dan Pejabat Daerah Sepang bagi memastikan isu yang dikenal pasti di lapangan disusuli tindakan segera.
“Sepang mengalu-alukan dunia.
“Kita mahu pengunjung datang dengan rasa teruja, menikmati pengalaman terbaik dan pulang dengan kenangan yang baik tentang Sepang dan Malaysia.
“Kita tidak turun untuk mencari siapa yang salah. Kita turun untuk melihat apa yang tidak berjalan, mengenal pasti ruang penambahbaikan dan memastikan tindakan segera diambil,” katanya.
Aiman Athirah berkata, beliau akan memastikan suara pengunjung didengar dan setiap isu yang dikenal pasti tidak dibiarkan tanpa penyelesaian.
Terdahulu, pengunjung F1 meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial mengenai tempoh menunggu yang panjang untuk menaiki bas perantara, kesesakan ketika keluar masuk litar serta kesukaran mendapatkan air minuman.
Rapid KL sebelum ini menyediakan 95 bas perantara percuma yang beroperasi dari beberapa lokasi tumpuan ke SIC sepanjang penganjuran F1 dari 2 hingga 4 Oktober.
Berita berkaitan
October 3, 2026, 3:11 pm
Imigresen tahan 37,313 PATI dalam sembilan bulan, 1,692 majikan rakyat Malaysia turut dicekup
October 3, 2026, 2:05 pm
Penceramah motivasi ditahan, direman kes dakwaan gangguan seksual kanak-kanak
October 3, 2026, 11:18 am
Dari RM2.4 juta ke RM33.7 juta setahun, Berjaya Hills pertahan hak dalam pertikaian cukai tanah Pahang
October 3, 2026, 10:11 am
Sekolah 2027 bermula 4 Januari, KPM umum kalendar akademik baharu
October 2, 2026, 6:32 pm
Pemuda PAS pertahan Mohd Shuhaily, mahu isu kebocoran sempadan diberi keutamaan
October 2, 2026, 6:19 pm
Chean Chung tak aktif aktiviti parti sejak lebih setahun lalu - Anwar
October 2, 2026, 5:39 pm
Mulai 5 Oktober, semua perkhidmatan JPJ menerusi MYEG digantung
October 2, 2026, 5:29 pm
Pecutan ‘Pocket Rocketman’ di selekoh terakhir, Azizulhasni hadiah emas kelapan negara
October 2, 2026, 5:14 pm
