Berita Berita
Jatuh ketika cuba lari, budak 8 tahun cedera digigit anjing liar di kepala dan leher
BACHOK 3 Okt – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terpaksa melarikan diri sehingga ke dalam laut bagi menyelamatkan diri selepas diserang sekumpulan anjing liar ketika bermain pasir di Pantai Kuala Kemasin, di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Azuar Firdaus Zuraiman mengalami beberapa luka gigitan termasuk kesan taring yang menembusi kulit pada bahagian kepala dan leher.
Bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, berkata, anaknya sebelum itu bermain bersama lima saudara sebaya di kawasan berhampiran pantai sejak jam 9 pagi.
“Anak saya sebelum itu pergi bermain di kawasan berdekatan pantai bersama lima saudaranya yang sebaya pada jam 9 pagi.
“Ketika sedang bermain pasir, tiba-tiba kira-kira lima ekor anjing datang berlari ke arah mereka dan mereka terkejut lalu melarikan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Azuar terjatuh ketika cuba melarikan diri sebelum diserang dan digigit beberapa ekor anjing berkenaan, manakala lima saudaranya terselamat.
Menurut Zuraiman, anaknya sempat bangun dan melawan dengan menendang anjing terbabit sebelum berlari ke arah pantai untuk menyelamatkan diri.
“Dalam keadaan bergelut, anak saya sempat bangun dan menendang anjing serta lari ke arah pantai untuk selamatkan diri.
“Bagaimanapun, anjing terus mengejarnya sehingga ke pantai dan air cecah paras leher anak saya barulah anjing berhenti menyerang,” katanya.
Ketika kejadian, Zuraiman sedang berniaga di kedai makan keluarganya berhampiran pantai sebelum terdengar bunyi bising dan orang ramai memanggilnya dalam keadaan cemas.
Dia kemudian melihat seorang pekerja buruh warga asing dari resort berhampiran membawa anaknya dalam keadaan berlumuran darah.
Pekerja berkenaan sebelum itu menyedari kejadian lalu berlari membantu menghalau kumpulan anjing tersebut sebelum membawa Azuar keluar dari air dan menghantarnya kepada bapanya.
Zuraiman kemudian membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Balai sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Anak saya baru selesai menjalani pembedahan untuk mencuci luka dan menjahit bahagian yang berlubang akibat gigitan anjing.
“Dua kesan taring terdapat di bahagian leher, manakala dua lagi di kepala. Keadaannya masih dirawat dan di wad dan memerlukan pemantauan doktor,” katanya.
Zuraiman yang mempunyai sembilan anak berkata, Azuar merupakan anak kelapan mereka.
Menurutnya, kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana kumpulan anjing liar berkenaan didakwa sudah lama berkeliaran di kawasan pantai terutama berhampiran tong sampah.
“Anjing-anjing itu memang sudah lama ada di kawasan pantai dan sering dilihat berkeliaran berhampiran tong sampah.
“Saya ada aduan sebelum ini, malah pernah ada usaha memasang perangkap, tetapi masalah itu hanya selesai seketika,” katanya.
Dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah anjing liar di kawasan berkenaan sebelum kejadian lebih buruk berlaku.
“Saya tidak mahu perkara seperti ini berulang kepada kanak-kanak lain dan ada yang kehilangan nyawa baru tindakan diambil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
“Kami menerima laporan daripada seorang pekerja resort berhampiran berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut diteruskan pihak polis,” katanya.
Berita berkaitan
October 3, 2026, 3:31 pm
Proton Wira jatuh sungai ditemukan kosong, warga emas masih hilang selepas 13 jam
October 3, 2026, 3:11 pm
Imigresen tahan 37,313 PATI dalam sembilan bulan, 1,692 majikan rakyat Malaysia turut dicekup
October 3, 2026, 2:05 pm
Penceramah motivasi ditahan, direman kes dakwaan gangguan seksual kanak-kanak
October 3, 2026, 11:18 am
Dari RM2.4 juta ke RM33.7 juta setahun, Berjaya Hills pertahan hak dalam pertikaian cukai tanah Pahang
October 3, 2026, 10:11 am
Sekolah 2027 bermula 4 Januari, KPM umum kalendar akademik baharu
October 2, 2026, 6:32 pm
Pemuda PAS pertahan Mohd Shuhaily, mahu isu kebocoran sempadan diberi keutamaan
October 2, 2026, 6:19 pm
Chean Chung tak aktif aktiviti parti sejak lebih setahun lalu - Anwar
October 2, 2026, 5:39 pm
