TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Proton Wira jatuh sungai ditemukan kosong, warga emas masih hilang selepas 13 jam

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI 3 Okt - Misteri kehilangan seorang warga emas masih belum terjawab selepas Proton Wira dipandunya yang terbabas ke Sungai Lubuk Kawah di sini, ditemukan tanpa mangsa di dalamnya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mat Yusof Hashim, 77, dari Felda Teloi Timur, Kuala Ketil kini memasuki 13 jam selepas kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.40 malam tadi.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah kini memperluaskan kawasan pencarian sehingga ke Sungai Muda, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Komander Operasi Kanan Zon 2 JBPM Kedah, Mohd Fadzlie Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung sebuah kereta terbabas ke dalam sungai pada jam 11.46 malam.

Susulan itu, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya serta tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani digerakkan ke lokasi.

“Operasi SAR dilakukan di sekitar kenderaan terbabit dengan teknik ‘body rafting’ dan melakukan dua kali selaman masuk ke dalam kereta itu, namun didapati tiada mangsa di dalam kenderaan itu.

“Selepas itu, kita melakukan pencarian di sepanjang sungai sejauh satu kilometer menggunakan bot dan kita turut menempuh pelbagai cabaran seperti kelajuan air, arus deras dan kedalaman air sedalam 1.8 meter.

“Selain itu, anggota bomba turut menghadapi rintangan akibat pelepah sawit dan pokok tumbang di sepanjang sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Proton Wira berkenaan berjaya dinaikkan dari sungai dengan bantuan kren kira-kira jam 3 pagi.

Menurut Mohd Fadzlie, pemeriksaan mendapati cermin kereta berkenaan sudah pecah selain terdapat kesan hentakan serta kemek pada bahagian bumbung.

“Selepas kenderaan itu berjaya dinaikkan, kita dapati cermin kereta sudah pecah dan terdapat hentakan pada kenderaan itu serta ada kesan kemek di bahagian bumbung.

“Kita tidak pasti sama ada mangsa tercampak keluar atau terperangkap ketika kejadian berlaku.

“Setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemukan di lokasi dan operasi pencarian akan diteruskan sehingga ke Sungai Muda iaitu sejauh kira-kira dua kilometer,” katanya.

JBPM turut memohon bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi membantu mengesan mangsa.

Operasi pencarian diteruskan hari ini termasuk menggunakan bot dan kaedah selaman di sepanjang sungai.

+ - reset