Berita Berita
CCTV wajib di ‘blind spot’, pelajar tak boleh dibiarkan tanpa pengawasan – Armada
KUALA LUMPUR 5 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa memastikan setiap sekolah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi, terutama di kawasan sunyi dan titik buta susulan kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti selepas waktu persekolahan juga perlu diperketat bagi memastikan tiada pelajar berada di kawasan sekolah tanpa pengawasan.
Menurutnya, sekolah sepatutnya menjadi zon paling selamat untuk pelajar dan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi, termasuk ketika kelas tambahan atau aktiviti kokurikulum di luar waktu persekolahan rasmi.
Beliau berkata, KPM juga perlu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan seminar kesedaran jenayah secara berkala dan mandatori kepada semua pelajar.
“Langkah ini penting bagi mendidik pelajar mengenai implikasi perundangan, pemantauan salah laku rakan sebaya serta kaedah pelaporan awal bagi membanteras sebarang elemen jenayah dalam kawasan sekolah.
“Pada masa sama, KPM wajib memastikan setiap sekolah dilengkapi sistem CCTV yang berfungsi sepenuhnya, terutama di kawasan sunyi dan titik buta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Harris berkata, SOP bagi aktiviti selepas waktu persekolahan formal turut perlu diperkukuh dengan mewajibkan sistem log kehadiran yang ketat.
Menurutnya, tiada pelajar sepatutnya dibiarkan tanpa pengawasan guru bertugas atau pengawal keselamatan ketika berada di kawasan sekolah selepas tamat waktu persekolahan.
Dalam pada itu, Armada menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan telus PDRM berhubung kes kematian Irene Sofiya yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kami menuntut keadilan ditegakkan tanpa kompromi demi membela nasib Allahyarhamah Irene Sofiya.
“Keselamatan anak-anak kita adalah maruah masa depan negara,” tambahnya.
Harris turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Irene Sofiya yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar, terutama apabila Allahyarhamah dikatakan calon pelajar cemerlang SPM dan mempunyai aspirasi untuk menabur bakti dalam bidang kesihatan awam.
Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarhamah diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan.
Berita berkaitan
October 5, 2026, 8:11 pm
'Yang tak bayar syarikat, yang diminta letak jawatan menteri' - Anthony Loke
October 5, 2026, 5:42 pm
Janji manis nak kahwin, lebih 1,000 wanita Kelantan jadi mangsa warga asing daftar kenderaan - JPJ
October 5, 2026, 5:20 pm
Komitmen di AKPS, Shuhaily terpaksa tolak pelantikan FAM
October 5, 2026, 4:56 pm
Tiada maaf lagi, ‘mat rempit’ bakal berdepan hukuman penjara mulai 1 November - JPJ
October 5, 2026, 4:04 pm
Isu Rohingya kini ‘bom jangka’, boleh bertukar ‘bom nuklear’ - Syed Saddiq
October 5, 2026, 2:57 pm
Bedah siasat sahkan Irene Sofiya maut akibat trauma tumpul di kepala
October 5, 2026, 2:30 pm
Bot bawa 65 migran Bangladesh secara haram ke Malaysia hanyut tengah laut
October 5, 2026, 12:57 pm
