Berita Berita
Isu Rohingya kini ‘bom jangka’, boleh bertukar ‘bom nuklear’ - Syed Saddiq
KUALA LUMPUR 5 Okt – Isu pelarian Rohingya di Malaysia yang disifatkan sebagai ‘bom jangka’ boleh bertukar menjadi ‘bom nuklear’ dan menggugat kestabilan politik serta sistem nilai negara sekiranya tidak ditangani secara tegas dan segera.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia sejak sekian lama menunjukkan sikap berperikemanusiaan dengan menerima ratusan ribu pelarian daripada pelbagai konflik.
Bagaimanapun, beliau mendakwa Malaysia kini menanggung beban tidak seimbang berikutan janji perkongsian tanggungjawab oleh negara jiran dan kuasa besar yang tidak ditunaikan.
Menurutnya, berdasarkan statistik rasmi, Malaysia menampung lebih 130,000 pelarian Rohingya berbanding Indonesia yang merekodkan kurang 2,600 orang, Thailand kurang 500 dan India kurang 20,000.
"Ini menunjukkan janji tidak tertunai. Malaysia akhirnya perlu serap segala masalah tetapi diserap sekadar perseorangan sambil yang lain kekal bahagia, seperti kita saja yang perlu menyelesaikan masalah ini," katanya ketika berbahas pada sesi penerangan Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.
Syed Saddiq turut membidas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta negara yang sebelum ini berjanji menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit sementara sebelum pelarian ditempatkan semula di negara ketiga.
Beliau mendakwa jumlah pelarian di Malaysia kini mencecah 200,000 orang berdasarkan angka tidak rasmi, sedangkan terdapat negara lebih kaya yang menerima jumlah jauh lebih kecil.
Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan Malaysia dilihat sebagai destinasi utama sehingga membuka ruang kepada sindiket di Myanmar mengenakan bayaran sehingga AS$5,000 (RM20,400) bagi membawa seorang individu ke negara ini.
"Selain itu, apabila Malaysia dilabel dan dilihat sebagai satu-satunya penerima, sindiket di Myanmar (yang membawa pelarian ke Malaysia) akhirnya mampu menaikkan harga hingga AS$5,000 (RM20,400) bagi satu kepala kerana akhirnya, jika mereka berjaya bawa naik bot kecil ke Malaysia, jumlah yang mereka mampu bayar jauh lebih tinggi.
"Adakah kita lupa apa yang terjadi di Wang Kelian, di mana lebih 150 kubur dijumpai, membabitkan mereka yang dibunuh oleh sindiket berkenaan.
"Kenapa di Malaysia? Kerana Malaysia dilihat sebagai tempat selamat. Jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak tegas bertindak, kita secara tidak langsung sedang memberikan insentif kepada penyeludup ini untuk terus membawa ribuan atau puluhan ribu datang ke Malaysia," katanya.
Justeru, Syed Saddiq mencadangkan TLDM dan APMM mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap kemasukan pendatang secara haram melalui laluan laut.
Beliau turut mahu Malaysia tidak lagi bergantung kepada janji penempatan semula oleh negara maju, sebaliknya isu berkenaan dibawa ke peringkat ASEAN supaya tanggungjawab itu dikongsi bersama.
"Kita tidak lagi boleh membenarkan dan percaya kepada janji negara maju ini, seperti penempatan semula, biar sementara (di Malaysia), akan proses dan ambil, tidak lagi. Biar negara jiran turut ambil beban ini, bawa kepada ASEAN.
"Jika pihak negara Barat nak kritik kita, minta mereka untuk sediakan tempat, bukan setakat Malaysia semata-mata. Kita perlu adakan solusi dwipartisan," katanya.
Beliau turut mencadangkan Dewan Rakyat menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu pelarian supaya penyelesaiannya tidak dipolitikkan mengikut kepartian.
"Kita perlu ada keberanian politik untuk bertindak bersama tetapi harus ada sasaran, seperti dalam tempoh masa 10 tahun, kita perlu kurangkan jumlah pelarian daripada 200,000 orang ke jumlah yang jauh lebih kecil," katanya.
Berita berkaitan
October 5, 2026, 8:11 pm
'Yang tak bayar syarikat, yang diminta letak jawatan menteri' - Anthony Loke
October 5, 2026, 5:42 pm
Janji manis nak kahwin, lebih 1,000 wanita Kelantan jadi mangsa warga asing daftar kenderaan - JPJ
October 5, 2026, 5:20 pm
Komitmen di AKPS, Shuhaily terpaksa tolak pelantikan FAM
October 5, 2026, 4:56 pm
Tiada maaf lagi, ‘mat rempit’ bakal berdepan hukuman penjara mulai 1 November - JPJ
October 5, 2026, 2:57 pm
Bedah siasat sahkan Irene Sofiya maut akibat trauma tumpul di kepala
October 5, 2026, 2:30 pm
Bot bawa 65 migran Bangladesh secara haram ke Malaysia hanyut tengah laut
October 5, 2026, 1:09 pm
CCTV wajib di ‘blind spot’, pelajar tak boleh dibiarkan tanpa pengawasan – Armada
October 5, 2026, 12:57 pm
