TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada maaf lagi, ‘mat rempit’ bakal berdepan hukuman penjara mulai 1 November - JPJ

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 5 Okt – Kegiatan samseng jalanan atau ‘mat rempit’ bakal berdepan hukuman lebih berat termasuk penjara apabila pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dijangka mula dikuatkuasakan pada 1 November ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pindaan berkenaan sudah diluluskan Parlimen dan kini hanya menunggu proses pewartaan akhir.

Menurutnya, pindaan itu akan membolehkan anggota penguat kuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu yang terbabit dalam perlumbaan haram serta aktiviti menunggang secara berbahaya.

"Pindaan terhadap Akta 333 sudah diluluskan Parlimen dan jika semuanya berjalan lancar, ia akan dikuatkuasakan mulai 1 November.

"Kita akan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat, termasuk hukuman penjara, terhadap kesalahan 'mat rempit'.

"Di bawah Seksyen 42(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pindaan itu juga akan memudahkan pegawai penyiasat mengambil tindakan," katanya.

Muhammad Kifli berkata, JPJ kini menunggu pandangan Jabatan Peguam Negara, manakala proses yang masih berbaki adalah pewartaan pindaan berkenaan.

Menurutnya, kegiatan ‘mat rempit’ merupakan isu yang menjadi kebimbangan di peringkat nasional dan memerlukan tindakan penguatkuasaan berterusan daripada agensi berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata, masalah berulang membabitkan kegiatan ‘mat rempit’ di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu akan ditangani menerusi kerjasama lebih erat antara JPJ dan polis.

"Isu mat rempit di lapangan terbang Kota Bharu adalah masalah yang berulang dan JPJ akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tindakan penguatkuasaan diambil," katanya.

Beliau berkata, pindaan terbaharu Akta 333 itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan terhadap perlumbaan haram, samseng jalanan serta kesalahan lain yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Pindaan itu juga dijangka memberikan peruntukan undang-undang lebih kukuh kepada agensi penguat kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti pemanduan berbahaya.

+ - reset