Berita Berita
Bedah siasat sahkan Irene Sofiya maut akibat trauma tumpul di kepala
KUALA LUMPUR 5 Okt – Kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala disahkan sebagai punca kematian pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, punca kematian itu dikenal pasti menerusi proses bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan kes berkenaan dilaksanakan secara terperinci dan tiada fakta akan disembunyikan daripada masyarakat.
"PDRM turut memberi jaminan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen 'cover-up' atau melindungi mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
M Kumar berkata, siasatan kini berjalan lancar dengan kerjasama penuh pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 3 Oktober lalu, iaitu pada hari kejadian.
"Suspek kini dikenakan perintah reman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober ini selepas permohonan reman terhadapnya dibenarkan oleh Majistret.
"Kes berkenaan sedang disiasat secara terperinci oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.
Dalam pada itu, M Kumar menggesa orang ramai supaya menjaga sensitiviti keluarga mangsa serta menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung kejadian berkenaan.
"Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau memberi sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.
Terdahulu, pelajar Tingkatan Empat berkenaan ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada 3 Oktober lalu.
Mangsa ditemukan selepas neneknya datang ke sekolah berkenaan apabila menyedari cucunya masih belum pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang.
Berita berkaitan
October 5, 2026, 8:11 pm
'Yang tak bayar syarikat, yang diminta letak jawatan menteri' - Anthony Loke
October 5, 2026, 5:42 pm
Janji manis nak kahwin, lebih 1,000 wanita Kelantan jadi mangsa warga asing daftar kenderaan - JPJ
October 5, 2026, 5:20 pm
Komitmen di AKPS, Shuhaily terpaksa tolak pelantikan FAM
October 5, 2026, 4:56 pm
Tiada maaf lagi, ‘mat rempit’ bakal berdepan hukuman penjara mulai 1 November - JPJ
October 5, 2026, 4:04 pm
Isu Rohingya kini ‘bom jangka’, boleh bertukar ‘bom nuklear’ - Syed Saddiq
October 5, 2026, 2:30 pm
Bot bawa 65 migran Bangladesh secara haram ke Malaysia hanyut tengah laut
October 5, 2026, 1:09 pm
CCTV wajib di ‘blind spot’, pelajar tak boleh dibiarkan tanpa pengawasan – Armada
October 5, 2026, 12:57 pm
