TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Yang tak bayar syarikat, yang diminta letak jawatan menteri' - Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 5 Okt – “Yang tak bayar syarikat, yang diminta diambil tindakan ialah menteri. Apa punya logik ini?”

Demikian reaksi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke terhadap desakan di media sosial supaya beliau meletakkan jawatan susulan penggantungan perkhidmatan pembayaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh pemungut hasil, MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd.

Anthony menegaskan, keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ dibuat berdasarkan fakta berkaitan tunggakan hasil kerajaan dan bukannya atas pertimbangan politik.

“Saya pun hairan. Cepat-cepat minta saya letak jawatan pula. Yang tak bayar, syarikat!” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya pada Isnin.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan MYEG dan Zetrix AI digantung berkuat kuasa 5 Oktober selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta obligasi yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan kedua-dua syarikat berkenaan.

Anthony berkata, kerajaan juga tidak mengambil kira kaitan pengurusan atau pemilikan syarikat terbabit dengan mana-mana parti politik dalam membuat keputusan tersebut.

“Mereka berkaitan dengan pihak siapa-siapa, itu tidak relevan kepada saya,” katanya.

Menurutnya, perkara utama yang menjadi pertimbangan MOT dan JPJ adalah tunggakan hasil kerajaan yang gagal dipindahkan mengikut kewajipan ditetapkan.

Sebelum ini, MOT memaklumkan jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan mencecah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026, melibatkan kutipan hasil kerajaan yang belum dipindahkan ke akaun terimaan utama Pejabat Perakaunan MOT.

Anthony berkata, kerajaan sudah memberi peluang untuk tunggakan itu diselesaikan termasuk dengan mengeluarkan 35 notis peringatan serta mengadakan empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, tindakan penggantungan terpaksa dibuat selepas cek bernilai RM231 juta yang diserahkan syarikat tidak diproses pihak bank atas arahan syarikat ketika dikreditkan pada 30 September lalu.

“Jadi kita tak ada pilihan. Tidak ada apa-apa alasan yang boleh diberikan oleh pihak syarikat. Ini tanggungjawab dan obligasi.

“Mereka hanya adalah ejen pemungut cukai. Ini bukan wang mereka, ini wang pembayar cukai ataupun pembayar lesen yang mereka kutip bagi pihak JPJ,” katanya.

Mengenai tempoh penggantungan, Anthony berkata, perkhidmatan itu hanya akan dipertimbangkan untuk dibuka semula selepas keseluruhan tunggakan dilangsaikan.

Beliau turut mengesahkan kerajaan mempunyai klausa untuk menamatkan kontrak tanpa perlu membayar pampasan sekiranya tindakan tersebut diambil.

“Mereka berhutang kita lebih daripada RM300 juta sekarang. Jadi tak ada soal pampasan kepada mereka,” katanya.

 

+ - reset