TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cemburu lihat mangsa keluar dengan lelaki lain punca pelajar 19 tahun dijerut hingga maut dalam bilik sewa di Kuantan

By
|
Kongsi
image

BENTONG 7 Okt - Perasaan cemburu selepas teman wanitanya berjumpa lelaki lain dipercayai menjadi motif seorang remaja lelaki berusia 19 tahun menjerut kekasihnya sehingga maut di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, Kuantan, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat jerutan pada leher sehingga menyebabkan kekurangan oksigen.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mengetahui mangsa yang juga berusia 19 tahun berjumpa lelaki lain.

“Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu antara pasangan kekasih itu kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa berjumpa lelaki lain.

“Suspek sendiri yang menghubungi pihak polis dan memaklumkan dia sudah mengambil tindakan mencekik mangsa,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong, hari ini.

Azry Akmar berkata, suspek yang berasal dari Perak dipercayai datang ke rumah sewa mangsa kira-kira seminggu lalu sebelum tinggal bersama wanita berkenaan.

Mangsa yang berasal dari Kedah pula menyewa rumah terbabit bersama beberapa rakannya yang juga pelajar.

“Suspek sebelum ini pernah belajar bersama mangsa, namun sudah diberhentikan pengajian dan kini tidak bekerja.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati negatif, manakala keadaan mentalnya setakat ini adalah normal,” katanya.

Suspek kini direman sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa sudah dituntut keluarga dan dibawa pulang ke Kedah untuk urusan pengebumian.

Terdahulu, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil dalam bilik sewa berkenaan selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada suspek pada jam 4.32 pagi semalam.

Tajuk: Cemburu kekasih jumpa lelaki lain, remaja 19 tahun disyaki jerut teman wanita hingga maut

+ - reset