TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis sahkan pemandu e-hailing alami kemalangan maut positif methamphetamine

By
|
Kongsi
image

SUBANG JAYA 7 OKTOBER - Siasatan awal mendapati pemandu e-hailing yang terbabit kemalangan sehingga mengakibatkan pelajar wanita warga Maldives maut berhampiran Plaza Tol PJ, di sini, malam kelmarin, positif methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata dalam kejadian jam 8.48 malam, kemalangan membabitkan kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 37 tahun dengan Proton S70 di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), berhampiran Plaza Tol PJ menghala ke Puchong,

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta Proton S70 yang dipandu lelaki tempatan berumur 34 tahun sedang bergerak ke lorong RFID sebelum bahagian belakang kanan kenderaannya dilanggar sebuah Perodua Ativa dari arah kanan.

"Pemandu e-hailing membawa dua penumpang wanita warga Maldives berusia 22 tahun yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Lembah Klang.

"Impak pelanggaran berkenaan menyebabkan Perodua Ativa berkenaan berpusing sebelum terbalik di tengah jalan.

"Seorang daripada penumpang terperangkap dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera," katanya.

Wan Azlan berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang bagi proses bedah siasat.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua pemandu mendapati pemandu e-hailing positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

"Susulan itu, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan perintah reman selama empat hari terhadap pemandu berkenaan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok untuk arahan lanjut," katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azizul Hakim Roslan di talian 011-2891 4495 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset