TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua anggota Cawangan Khas nafi bertindak sebagai ulat di KLIA

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 7 Okt. – Dua anggota Cawangan Khas menafikan dakwaan bertindak sebagai ulat atau pengatur sindiket 'counter setting' ketika menjalankan tugasan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1).

Sebaliknya, kedua-dua anggota terbabit mendakwa mereka dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam insiden pada 28 September lalu.

Penjelasan berkenaan dikeluarkan menerusi peguam mewakili mereka, Datuk Kamal Hisham Ja'afar daripada firma guaman Kamal Hisham & Associates.

Kamal Hisham menegaskan bahawa sebarang tohmahan yang dilemparkan terhadap anak guamnya tidak seharusnya digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu utama membabitkan dakwaan kekasaran fizikal.

Sebarang tuduhan berkenaan penglibatan dalam aktiviti haram sepatutnya disokong dengan bukti kukuh dan bukannya dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan ganas terhadap anggota keselamatan.

Kedua-dua anak guamnya berada di lokasi kejadian bagi menjalankan tugasan rasmi sebelum insiden kekasaran yang berlakunya di kawasan awam itu mengakibatkan kecederaan serta mencemar maruah mereka.

Syarikat guaman berkenaan turut mengingatkan bahawa AKPS merupakan entiti berasingan yang mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza daripada agensi kepolisian negara.

Tindakan menentang atau mengganggu tugas anggota keselamatan disifatkan berpotensi melanggar Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Insiden berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berikutan tindakan yang didakwa dilakukan dengan sengaja sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Keputusan muktamad berhubung sebarang kesalahan perundangan bagaimanapun diserahkan sepenuhnya kepada proses siasatan rasmi dan pembuktian di mahkamah.

Kedua-dua anggota terbabit menyeru masyarakat agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan naratif tidak sah serta memberi ruang kepada siasatan telus.

Tiada individu tanpa mengira kedudukan atau pangkat tinggi berhak berada di atas undang-undang mahupun menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang bertugas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail sebelum ini mengesahkan bahawa seramai 25 saksi telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Saksi yang dirakam keterangan merangkumi pegawai kesihatan, pekerja pengendali bagasi, anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), serta orang awam di lokasi.

Siasatan menyeluruh dipergiat susulan penularan klip video yang memaparkan tindakan memarahi dua lelaki serta perbuatan menarik telinga secara kasar, selain salinan laporan polis yang tersebar di media sosial. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset