TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu keselamatan murid: KPM bakal libat pakar jenayah, psikologi dan perkembangan kanak-kanak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluaskan penglibatan pakar termasuk dalam bidang siasatan jenayah, psikologi, perkembangan kanak-kanak dan keselamatan bagi memperkukuh aspek keselamatan murid di sekolah.

Menurut KPM, langkah itu akan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang diwujudkan bagi meneliti secara menyeluruh aspek keselamatan di institusi pendidikan.

KPM berkata, pelbagai isu berkaitan keselamatan kanak-kanak yang dibangkitkan sejak beberapa hari lalu perlu didengar dan diberikan perhatian serius.

“Usaha memperkukuh keselamatan di sekolah tidak boleh dibuat oleh KPM sendirian. Sejak Oktober 2025, kita telah duduk semeja bersama UNICEF, SUHAKAM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, PDRM, NUTP, PGBM, MPSM, Yayasan Chow Kit melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan.

“NIOSH turut dilibatkan dalam audit serta latihan keselamatan di sekolah,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, jawatankuasa berkenaan sudah meneliti pelbagai aspek termasuk pengurusan asrama, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), peranan warden, pengurusan disiplin serta mekanisme pelaporan apabila berlaku sesuatu kejadian.

Bagaimanapun, usaha berkenaan akan diteruskan dengan skop penglibatan diperluaskan kepada lebih ramai tokoh dan pakar.

“Kita tidak akan berhenti di sini. Selepas ini kita akan besarkan lagi meja ini. Tokoh dan pakar dalam bidang siasatan jenayah, psikologi, perkembangan kanak-kanak dan keselamatan akan kita bawa bersama untuk melihat apa lagi yang perlu diperbaiki.

“Lebih banyak kepakaran dan perspektif akan kita dengar. Kita mahu setiap sudut diteliti supaya apa yang kurang dapat diperbaiki dan apa yang sudah berjalan dapat diperkukuh. Kerja ini akan terus kita lakukan,” katanya.

 

+ - reset