TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Menteri Kesihatan sifatkan pemergian jururawat Hospital Selayang kehilangan besar KKM

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA, 8 Okt. – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan insiden kemalangan maut yang mengorbankan jururawat terlatih, Noor Atirah Yacob, sebagai satu kehilangan besar buat seluruh warga Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau menegaskan bahawa komitmen serta jasa berterusan Allahyarham yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Selayang akan sentiasa dihargai dan dikenang oleh kementerian.

Dr. Dzulkefly menerusi kenyataan rasmi turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham agar diberikan kekuatan serta ketabahan mendepani ujian berat berkenaan.

Pengorbanan, keringat, dan bakti yang dicurahkan oleh petugas barisan hadapan terbabit dalam menyelamatkan nyawa serta merawat pesakit dianggap sebagai sumbangan amat bernilai kepada negara.

Seluruh warga KKM mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang solehah.

Insiden tragis berkenaan menyaksikan Noor Atirah dan suaminya meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Buloh, susur masuk ke Sierramas.

Laporan berhubung kemalangan maut yang meragut nyawa pasangan suami isteri itu diterima oleh IPD Petaling Jaya kira-kira pukul 3.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat mengesahkan bahawa siasatan berhubung punca sebenar kemalangan terbabit kini sedang dijalankan secara terperinci.

+ - reset