TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peningkatan krisis jerebu, 33 kawasan rekod bacaan IPU tidak sihat setakat pagi ini

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA, 8 Okt. – Sebanyak 33 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 11.09 pagi ini, dengan 11 daripadanya semakin menghampiri paras sangat tidak sihat.

Berdasarkan kemas kini data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), kesemua kawasan terbabit mencatatkan bacaan IPU julat antara 153 hingga 187.

Segamat di Johor mencatatkan kualiti udara paling terjejas di seluruh negara selepas merekodkan bacaan tertinggi pada paras 187, diikuti Nilai serta Seremban di Negeri Sembilan masing-masing berada pada bacaan 183.

Antara kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan IPU tinggi termasuk Kluang (180), Pasir Gudang (179), Johan Setia di Selangor (178), Larkin (177) dan Rompin di Pahang (175).

Dua kawasan utama iaitu Cheras di Kuala Lumpur dan Putrajaya berada pada paras 173, manakala Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka bersama Tangkak di Johor merekodkan bacaan 172.

Situasi kualiti udara yang terus merosot turut dikesan di Shah Alam (170), Batu Muda di Kuala Lumpur serta Port Dickson di Negeri Sembilan (169), manakala Alor Gajah di Melaka berada pada paras 168.

Beberapa kawasan perindustrian serta penempatan seperti Klang dan Banting di Selangor mencatatkan bacaan 167, diikuti Balok Baru Kuantan di Pahang yang merekodkan paras 166.

Sementara itu, Petaling Jaya di Selangor mencatatkan bacaan 165, manakala Pengerang dan Kota Tinggi di Johor serta Indera Mahkota Kuantan di Pahang merekodkan paras 164.

Kawasan Batu Pahat di Johor mencatatkan bacaan 162, manakala Seri Manjung di Perak merekodkan IPU 160 dan Tasek Ipoh berada pada paras 158.

Masing-masing Seberang Perai di Pulau Pinang mencatatkan bacaan 156, manakala Minden di Pulau Pinang, Kuala Selangor di Selangor serta Kemaman di Terengganu merekodkan bacaan 155.

Aktiviti pencemaran merentas sempadan turut menjejaskan kualiti udara di Taiping, Perak yang merekodkan IPU 154 dan Sungai Petani di Kedah pada paras 153.

Berdasarkan pemantauan keseluruhan di 68 stesen pemantauan JAS, sebanyak 23 stesen merekodkan tahap sederhana manakala tiada sebarang stesen mencatatkan bacaan kategori baik, sangat tidak sihat, atau berbahaya.

Kategori IPU julat 101 hingga 200 yang disahkan sebagai tidak sihat boleh memberi kesan mudarat kepada golongan berisiko tinggi terutamanya kanak-kanak, warga emas, dan individu yang mengalami masalah pernafasan.

+ - reset