TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia raih 20 pengiktirafan kecemerlangan tenaga di ASEAN Energy Awards 2026

By
|
Kongsi
image

MANILA, 8 Okt. – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada organisasi tempatan yang mengharumkan nama negara selepas meraih 20 pengiktirafan di ASEAN Energy Awards (AEA) 2026.

Pencapaian cemerlang terbaharu itu menyaksikan Malaysia berjaya menjuarai lapan kategori utama di samping memenangi tujuh Naib Johan Pertama dan lima Naib Johan Kedua di peringkat serantau.

Kejayaan berkenaan mengatasi pencapaian tahun 2025 yang menyaksikan negara hanya membawa pulang 16 pengiktirafan termasuk enam kemenangan secara keseluruhan.

Peningkatan pencapaian itu membuktikan keupayaan serta komitmen berterusan organisasi tempatan dalam memajukan inisiatif kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan antarabangsa terbabit diraih menerusi ASEAN Energy Efficiency and Conservation Best Practices Awards serta ASEAN Renewable Energy Project Awards.

Anugerah berprestij itu merangkumi pencapaian projek dalam bidang bangunan cekap tenaga, bangunan hijau, biogas, solar, dan hidro mikro.

Beberapa projek inovatif berasaskan teknologi baharu seperti hidrogen hijau, sisa kepada tenaga (waste-to-energy), serta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) turut mendapat pengiktirafan tinggi.

Kesemua organisasi terbabit terlebih dahulu dinobatkan sebagai pemenang di peringkat kebangsaan menerusi Anugerah Tenaga Kebangsaan 2026 (NEA) sebelum mewakili negara ke pentas serantau.

Platform NEA berperanan mengiktiraf kecemerlangan organisasi tempatan dalam pelaksanaan amalan mampan serta memilih calon berpotensi tinggi untuk membawa cabaran Malaysia di AEA 2026.

PETRA menyifatkan pengiktirafan berterusan itu sebagai bukti kukuh keupayaan sektor industri, perniagaan, dan institusi tempatan dalam merealisasikan aspirasi peralihan tenaga negara.

Kerjasama strategik antara kerajaan dan rakan industri dilihat sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem serta keterjaminan tenaga negara secara menyeluruh.

Majlis penyampaian anugerah berkenaan telah berlangsung di Manila, Filipina bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-44 dan ASEAN Energy Business Forum (AEBF).

Kecemerlangan terbaharu itu selari dengan matlamat Dasar Tenaga Negara 2022–2040 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk membina sistem tenaga mampan dan inklusif.

Agenda pemerkasaan sektor tenaga akan terus diperkukuh menerusi Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) bagi tempoh pelaksanaan 2026 hingga 2035.

Pelan NEEAP 2.0 menyasarkan penjimatan tenaga terkumpul sebanyak 815,000 terajoule (TJ) yang dijangka memberi penjimatan kos tenaga mencecah RM85 bilion sepanjang tempoh 10 tahun.

Inisiatif terbabit turut dijangka menarik pelaburan swasta berjumlah RM36 bilion selain membuka kira-kira 29,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor.

Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) 2024 berserta NETR dan NEEAP 2.0 menjadi tiang seri utama dalam melonjakkan daya saing ekonomi dan keselamatan tenaga negara.

PETRA bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia akan terus menggembleng tenaga bersama industri bagi memperluas amalan kecekapan tenaga di seluruh negara.

+ - reset