TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes jangkitan saluran pernafasan, radang mata meningkat akibat jerebu - kata KKM

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 10 Okt. – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan atas sebanyak 10.43 peratus menerusi pemantauan di 78 fasiliti kesihatan terpilih di seluruh negara berikutan situasi jerebu terkini.

Jumlah jangkitan berkenaan meningkat daripada 3,509 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 39 kepada 3,875 kes pada ME40.

Kes konjunktivitis atau radang mata turut melonjak sebanyak 26.47 peratus daripada 102 kepada 129 kes bagi tempoh yang sama.

Bagaimanapun, kes asma mencatatkan penurunan sebanyak 13.64 peratus iaitu daripada 535 kes kepada 462 kes.

Pemantauan penyakit berkaitan jerebu terus diperkukuh berikutan pendedahan kepada udara tercemar berisiko menjejaskan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil, serta pesakit paru-paru dan jantung.

Sebanyak 32 stesen pemantauan kualiti udara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat melibatkan lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan setakat jam 8 pagi.

Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengelakkan atau menangguhkan aktiviti luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara.

Penggunaan pelitup muka yang sesuai seperti N95 digalakkan sekiranya perlu berada di luar, selain pemandu diminta memperlahankan kenderaan jika jarak penglihatan terhad.

Masyarakat turut diseru supaya menyemak bacaan IPU secara berkala menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mengutamakan kesihatan diri serta keluarga.

+ - reset