TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Hutan hijau terus dibakar lagi bagai tiada penyesalan di Indonesia

By
|
Kongsi
image

JAKARTA 15 OKTOBER – Musim kemarau yang melanda wilayah Asia Tenggara sekali lagi menyaksikan kejadian kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia. 

Insiden yang saban tahun merosakkan ekosistem semula jadi itu terus menjadi topik perbualan panas di platform media sosial, dengan pelbagai pihak menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan menangani masalah pembakaran terbuka secara berkesan.   

Satu rakaman video yang tersebar luas menerusi platform dalam talian baru-baru ini menunjukkan beberapa titik api marak membakar kawasan lereng bukit berhutan tebal. 

Asap tebal membumbung tinggi ke udara, memaparkan suasana membimbangkan tatkala nyalaan api kelihatan semakin menjalar di celah-celah pepohon hijau. 

Penduduk setempat yang menyaksikan kejadian itu hanya mampu memandang dari jauh ketika kepulan putih dan hitam mula menyelubungi kawasan sekitar.  

Isu pembakaran kawasan hijau di Republik berkenaan bukanlah perkara baharu, malah telah menjadi kemelut berpanjangan yang menjejaskan kualiti udara bukan sahaja di negara jiran tersebut, malah merentasi sempadan hingga ke Malaysia dan Singapura. 

Kemarahan warga netizen makin meluap-luap apabila amalan pembersihan tanah secara mudah dan murah ini seolah-olah tiada titik noktah, walaupun pelbagai ikrar serta janji pemulihan alam sekitar sering dilaungkan sebelum ini.

Kesan daripada malapetaka ini bukan sekadar mengancam kesihatan awam berikutan risiko jerebu rentas sempadan, malah turut memusnahkan habitat biodiversiti yang menjadi perlindungan pelbagai spesies flora dan fauna terancam. 

Sehubungan itu, desakan awam semakin lantang menuntut tindakan undang-undang yang lebih tegas serta penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak atau syarikat yang didapati bertanggungjawab memulakan pembakaran berpusat tersebut.

+ - reset