TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Paderi maut ditimpa kayu salib ketika 'live' di gereja

By
|
Kongsi
image

GUAYAQUIL 19 OKTOBER - Seorang paderi Katolik dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu lalu selepas dihempap sebuah salib kayu besar yang jatuh dari dinding ketika beliau sedang memimpin upacara Misah yang disiarkan secara langsung di bandar Guayaquil, Ecuador.

Kejadian yang menimpa Reverend Patricio Alfredo Sánchez Molinari itu disahkan oleh Archdiosez Guayaquil menerusi satu kenyataan rasmi.

Insiden tragis berkenaan berlaku di Gereja Our Lady of Perpetual Help dan sempat dirakam menerusi siaran langsung di laman Facebook rasmi mendiang yang mempunyai lebih 4,600 pengikut.

Berdasarkan rakaman video tersebut, Sánchez dilihat sedang menghadap para jemaah sebelum salib kayu berukuran besar yang tergantung di dinding belakangnya secara tiba-tiba jatuh dan menghempap bahagian belakang kepalanya. 

Impak rempuhan itu menolak mendiang ke arah mimbar sebelum beliau jatuh terhempas ke lantai dan tidak sedarkan diri.

Suasana di dalam gereja bertukar cemas apabila beberapa jemaah kedengaran menjerit meminta bantuan dan menggesa orang ramai memanggil ambulans, sebelum siaran langsung berkenaan terputus secara mendadak.

Rakaman ngeri yang memaparkan detik-detik kemalangan tersebut telah tular di platform media sosial pada Ahad serta mendapat liputan meluas daripada pelbagai agensi berita antarabangsa.

Menerusi hantaran di media sosial, pihak Archdiosez Guayaquil menyatakan bahawa Sánchez kini "telah berpulang ke Rumah Bapa untuk menikmati kehadiran dan keagungan-Nya." 

Pihak archdiosez turut menzahirkan rasa duka cita yang mendalam serta menyampaikan ucapan takziah, kasih sayang dan sokongan moral kepada seluruh ahli keluarga serta rakan-rakan mendiang.

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Untuk rekod, Sánchez merupakan ahli kepada Congregation of the Most Holy Redeemer, sebuah ordo keagamaan Katolik Rom yang ditubuhkan pada tahun 1732 dan kini mempunyai cawangan di lebih 80 buah negara.

+ - reset