TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

2027 tahun penting buat KPM, kurikulum baharu bakal dilaksana, jadikan sekolah lebih selamat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Okt – Pelaksanaan kurikulum baharu pada tahun depan menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha memperkukuh kualiti sistem pendidikan negara menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peruntukan Belanjawan 2027 akan dimanfaatkan bagi memastikan segala perancangan pendidikan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan untuk manfaat murid dan warga pendidik.

Menurutnya, cabaran utama kementerian bukan sekadar merangka dasar dan memperkenalkan inisiatif baharu, sebaliknya memastikan setiap usaha yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Peruntukan ini membolehkan kita melaksanakan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, dengan fokus utama pada tahun hadapan ialah pelaksanaan kurikulum baharu.

“Belanjawan ini nyata memberi penekanan kepada kualiti pendidikan, terutamanya bagi menjayakan Rancangan Pendidikan Malaysia dan kurikulum baharu tersebut, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Belanjawan 2027: Memperkukuh Pendidikan, Melakar Masa Depan’ di Wisma Bernama.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha mengurangkan beban kewangan ibu bapa menerusi pelbagai bantuan dan elaun pendidikan yang disediakan dalam Belanjawan 2027.

Antaranya termasuk elaun tingkatan enam, Bantuan Awal Persekolahan (BAP), elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) serta insentif kepada guru pendidikan khas.

Katanya, peningkatan kadar BAP daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid dijangka dapat membantu keluarga menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

“BAP ini amat penting untuk difahami konteksnya, di mana peruntukan disalurkan kepada semua murid tanpa mengira latar belakang supaya tiada anak-anak yang terpinggir,” jelasnya.

Menyentuh aspek pembangunan infrastruktur, beliau berkata, pembinaan sekolah baharu, kerja menaik taraf sekolah daif serta penyediaan kemudahan sukan turut diberikan perhatian.

Menurutnya, penggunaan kaedah pembinaan bertingkat dan sistem binaan berindustri (IBS) modular menjadi antara pendekatan penting bagi mempercepat usaha menangani masalah sekolah padat serta bangunan sekolah daif.

Sementara itu, Fadhlina menegaskan KPM terus melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan keselamatan murid dan membendung kejadian buli di sekolah secara menyeluruh dan konsisten.

“Antara langkah yang sedang kita laksanakan secara konsisten adalah menjalankan audit keselamatan asrama, menambah pemasangan CCTV, serta menyediakan pembantu warden yang sangat penting dari segi kawalan dan keselamatan pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata, guru bimbingan dan kaunseling turut diberikan latihan bagi membolehkan mereka mengenal pasti petanda awal kejadian buli, selain memperluas saluran komunikasi supaya murid dapat menyampaikan pandangan secara langsung.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid bukan hanya terletak pada pihak sekolah, sebaliknya turut memerlukan kerjasama masyarakat setempat.

“Sekolah ini adalah milik komuniti. Jadi, komuniti juga ada tanggungjawab itu untuk bersama-sama dengan kita,” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan sekolah menghadapi bencana, Fadhlina berkata, KPM turut memperkukuh langkah menangani risiko cuaca panas dan banjir menerusi penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran.

Katanya, kementerian sedang meneliti keperluan memindahkan atau menaik taraf sekolah yang sering dilanda banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan lembah.

Penelitian berkenaan mengambil kira tahap risiko di lokasi sekolah bagi memastikan keselamatan murid serta warga pendidik terus menjadi keutamaan kementerian.

+ - reset