TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Arkitek bergelar Datuk didakwa cabul remaja lelaki dalam bilik sauna

By
|
Kongsi
image

AMPANG 23 Okt – Seorang arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di sebuah bilik sauna, Ahad lalu.

Tertuduh, Datuk Saiful Anuar Abdul Aziz, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Ain Ariffin.

Mengikut pertuduhan, lelaki warga emas itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan memegang badannya dengan niat mencabul kehormatan remaja berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik sauna dalam gimnasium yang terletak di pusat beli-belah dekat sini, kira-kira jam 7.10 malam pada 18 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam K Theivaendran yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung ibu yang uzur berusia 89 tahun serta adiknya.

Pihak pembelaan turut membantah permohonan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah kerana lelaki itu mempunyai komitmen kerja di luar negara.

"Saya membantah permohonan pihak pendakwaan untuk tertuduh menyerahkan pasport kerana anak guam mempunyai projek-projek di luar negara termasuk di Riyadh, namun tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun, Ramanathan membantah hujah tersebut dengan menyatakan bahawa projek tertuduh di luar negara boleh menimbulkan risiko lelaki itu melarikan diri.

Beliau turut memohon supaya tertuduh mengutamakan kehadiran pada tarikh prosiding mahkamah berbanding urusan projek atau kepentingan peribadi.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan, termasuk larangan mengganggu mangsa dan saksi serta penyerahan pasport sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang lelaki warga emas mencabul remaja lelaki di sebuah pusat gimnasium di Melawati.

+ - reset