Berita Berita
'Jutaan pencarum berhak tahu' - PGIRM desak KWSP jelaskan dakwaan 'tak cukup duit'
KUALA LUMPUR 23 Okt – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung kedudukan kewangan dan pengurusan dana pencarum susulan dakwaan yang tular di media sosial mengenai kemungkinan masalah kewangan serta penyelewengan.
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan jutaan pencarum mendapat maklumat tepat dan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang belum disahkan.
Menurutnya, PGIRM mengikuti perkembangan perbincangan di media sosial yang mendakwa KWSP berdepan masalah kewangan, kekurangan dana serta kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pengurusannya.
Katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 21 Oktober lalu mengenai kemungkinan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap KWSP turut mendapat perhatian pertubuhan itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa cadangan mempertimbangkan penubuhan RCI tidak boleh dianggap sebagai bukti berlakunya penyelewengan atau menunjukkan KWSP sudah kehabisan wang.
Menurut Azmi, perkembangan itu sebaliknya memperlihatkan kepentingan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana yang melibatkan kepentingan jutaan pencarum.
Sehubungan itu, PGIRM berpandangan KWSP perlu menjelaskan kedudukan kewangan dan tahap kecairannya, selain memperincikan pengurusan risiko pelaburan serta mekanisme kawalan dan audit yang dilaksanakan.
Katanya, langkah itu penting bagi memberikan keyakinan kepada pencarum bahawa simpanan mereka diuruskan secara bertanggungjawab dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik.
PGIRM turut menegaskan bahawa pihaknya tidak membuat sebarang tuduhan terhadap KWSP, sebaliknya hanya mahu persoalan munasabah yang dibangkitkan dijawab berdasarkan fakta dan maklumat rasmi.
Menurut pertubuhan itu, pencarum berhak mengetahui keadaan sebenar pengurusan dana mereka, namun sebarang dakwaan serius tidak sepatutnya diterima sebagai fakta tanpa bukti yang kukuh.
Dalam pada itu, Azmi berkata, isu ketelusan dan tadbir urus KWSP perlu dibezakan daripada tuntutan membenarkan pengeluaran simpanan secara bersasar yang diperjuangkan PGIRM.
Katanya, pertubuhan itu akan terus mendesak kerajaan supaya menilai mekanisme pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar, bersyarat, terhad dan terkawal bagi membantu pencarum yang benar-benar memerlukan.
Beliau menegaskan, kedua-dua perkara itu perlu diberikan perhatian secara berasingan bagi memastikan kepentingan pencarum sentiasa menjadi keutamaan.
"Pendirian PGIRM jelas: pencarum berhak mendapatkan penjelasan, tetapi dakwaan serius tidak wajar dianggap sebagai fakta tanpa bukti," menurut kenyataan PGIRM pada Jumaat. - Media Telus
Berita berkaitan
October 23, 2026, 10:44 pm
15 tahun tunggu 'flyover', penduduk Alam Budiman bawa enam kubur tepi jalan simbolik tuntut penyelesaian
October 23, 2026, 10:23 pm
Sampai hati ibu! Mayat bayi perempuan tujuh bulan ditemui dalam tong sampah apartmen
October 23, 2026, 10:05 pm
Murid Tahun Satu maut dipercayai jatuh dari tingkat 10 PPR ketika main basikal
October 23, 2026, 4:00 pm
2027 tahun penting buat KPM, kurikulum baharu bakal dilaksana, jadikan sekolah lebih selamat
October 23, 2026, 3:52 pm
DUN Sarawak bubar bermula Isnin 26 Oktober ini
October 23, 2026, 3:34 pm
TuJu ganti Waze: 'Takpalah jalan jauh sikit, daripada serah maklumat kepada Israel"- Anwar
October 23, 2026, 2:36 pm
Tangki helium meletup ketika kerja kimpalan, lelaki maut di kilang barang lusuh di Kajang
October 23, 2026, 2:22 pm
Ahli PN digesa sokong calon BN pada PRN Melaka – Takiyuddin
October 23, 2026, 1:57 pm
